My Add

Tuesday 6 November 2012

Pemimpin dunia hadiri WIEF kelapan

SINGAPURA, SELASA, 06 November, 2012:: Ketua negara dan pemimpin global lain mengesahkan komitmen mereka untuk menggalakkan kerjasama lebih luas antara masyarakat Islam dan bukan Islam dengan menyertai Forum Ekonomi Islam Sedunia (WIEF) kelapan.

Bakal berlangsung di Johor Bahru pada 4 hingga 6 Disember ini, forum itu akan dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, yang juga penaung Yayasan WIEF.

Berucap pada majlis makan tengah hari media di sini hari ini, Setiausaha Agung WIEF, Tan Sri Ahmad Fuzi Abdul Razak berkata pemimpin yang akan menghadiri forum itu, mewakili negara Islam dan bukan Islam.

Mereka yang akan membuat ucapan khas pada forum itu termasuk Dr Ikililou Dhoinine, Presiden Comoros, Sheikh Hamad bin Jassim bin Jaber Al Thani, Perdana Menteri dan Menteri Luar Qatar serta Tharman Shanmugaratnam, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Singapura.

Tetamu jemputan lain yang telah mengesahkan kehadiran termasuk Tun Abdullah Ahmad Badawi, bekas Perdana Menteri Malaysia dan Dr Ahmad Mohamed Ali, Presiden Bank Pembangunan Islam.

Acara tahunan itu yang kali ini bertemakan, 'Menukar Trend, Peluang Baru', kata Ahmad Fuzi, akan mengumpulkan pelbagai kumpulan 1,500 perwakilan dari 50 negara dan lebih 70 penceramah antarabangsa yang terkenal.

Beliau berkata perwakilan akan terlibat dalam perbualan dinamik mengenai isu-isu mempengaruhi komuniti global dan tempatan, serta berhubung secara peribadi dengan pemimpin dan indivudu lain yang terkenal di peringkat antarabangsa yang turut berminat untuk merebut peluang melalui kerjasama dengan komuniti Islam.

Beliau berkata majlis makan Malam Gala untuk semua peserta akan diadakan pada 4 Disember di Dataran Mahkota, Kota Iskandar di pusat pentadbiran Bahru Johor.

Majlis makan malam yang dihoskan Najib itu juga akan mempamerkan perkembangan menarik di Iskandar Malaysia melalui teknologi terkini termasuk pemetaan video tarikan baru.

Dihoskan secara bersama oleh kerajaan Malaysia dan kerajaan negeri Johor, WIEF kali ini juga meraikan siapnya projek-projek utama Iskandar Malaysia di bawah fasa pertama pembangunan.

"Kita tahu pelabur dan pemimpin perniagaan di seluruh dunia menunjukkan minat terhadap Iskandar Malaysia. Dengan mengadakan forum itu di sini, kami menyediakan peluang kepada mereka untuk meneroka potensi rantau ini.

"Ini adalah sebahagian daripada matlamat Yayasan WIEF untuk 'Membina Jambatan melalui Perniagaan'.

"Malah, 15 perkongsian telah dijalin pada tiga Forum lepas dari 2009-2011. Ini termasuk Memorandum Persefahaman (MoU) antara Coca-Cola dan Yayasan WIEF untuk meningkatkan pembangunan sosioekonomi dalam dunia Islam dengan penekanan terhadap usaha membantu negara-negara yang kurang maju, pembangunan keusahawanan wanita dan membasmi kemiskinan," kata Ahmad Fuzi.

WIEF kelapan susulan bengkel dan perbincangan meja bulat yang dianjurkan di pelbagai negara termasuk Bangladesh, Indonesia, India, Kenya, Malaysia dan United Kingdom. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment