My Add

Wednesday 7 November 2012

Pendekatan kesederhanaan

 *NAJIB Tun Razak berjabat tangan menerima kunjungan hormat William Hague ketika Sidang Kemuncak Asia-Eropah Kesembilan (ASEM) 2012 di Vientiane, Laos, semalam. - BERNAMA

Mustafa Kamal Basri
VIENTIANE, SELASA, 06 Nove Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Malaysia percaya pendekatan kesederhanaan boleh menjadi alat yang berkesan bagi menyelesaikan banyak konflik dan krisis yang sedang dihadapi masyarakat antarabangsa pada masa ini dan masa depan.

Konsep itu terbukti berkesan dalam menyelesaikan konflik di selatan Filipina apabila Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) dan kerajaan Filipina bersetuju berdamai setelah kedua-dua pihak mengambil pendekatan kesederhanaan yang disarankan oleh Malaysia, sebagai perantara.

“Saya menyarankan konsep itu kepada ketua-ketua kerajaan dan ketua negara anggota ASEM semasa mengambil bahagian pada sidang pleno pada sebelah pagi.

“Malaysia juga mengambil pendekatan serupa dalam isu keganasan etnik dan agama di negeri Rakhine, barat Myanmar dengan menekankan soal kemanusiaan dengan memberi bantuan kepada mangsa keganasan di Rakhine tanpa mengira latar belakang dan agama mereka," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Sidang Kemuncak Asia-Eropah Kesembilan (ASEM) 2012 di sini hari ini.

Sehubungan itu, Perdana Menteri percaya konflik di Syria sekarang juga boleh diselesaikan sekiranya kedua-dua pihak bersedia untuk mengambil pendekatan kesederhanaan dengan memulakan langkah melaksanakan gencatan senjata dan mencari penyelesaian politik.

“Namun setakat ini, tidak ada tanda-tanda kedua-dua pihak yang bertelagah di Syria mahu mencari penyelesaian," katanya.

Najib juga berkata, pada prinsipnya, ketua-ketua kerajaan dan ketua-ketua negara yang menghadiri ASEM kali ini dilihat menerima konsep kesederhanaan yang diketengahkan Malaysia dan bakal menjadi sebahagian daripada Deklarasi ASEM.

Ketika mengulas mengenai ASEM 2012, yang masuk hari kedua hari ini, beliau berkata, pemimpin Asia dan Eropah yang menghadiri sidang kemuncak itu bersetuju supaya interaksi antara Asia dan Eropah ditingkatkan dengan memberi galakan kepada hubungan perdagangan dan pelaburan.

“Asia boleh memanfaatkan hubungan dengan Eropah dalam bidang teknologi hijau, teknologi bio dan keselamatan makanan," katanya.

Kata beliau, kerjasama antara Asia dan Eropah juga perlu ditingkatkan dalam bidang-bidang yang boleh memberi kesan positif kepada keamanan dunia termasuk dalam isu memerangi keganasan, keselamatan, lanun dan perubahan iklim.

Najib juga memberitahu, beliau telah mengadakan perbincangan dua hala dengan Setiausaha Luar Britain, William Hague di luar sidang dan Perdana Menteri Republik Slovenia, Janez Jansa.

Perdana Menteri Bulgaria, Rosen Plevneliev juga telah mengadakan kunjungan hormat dengan beliau selepas rundingan dua hala itu.

Perdana Menteri berkata, beliau dimaklumkan bahawa ekonomi Britain mula menunjukkan tanda-tanda pemulihan dan Britain menggalakkan syarikat dan pelabur Malaysia untuk melabur di negara itu dalam industri tenaga dan projek stesen tenaga.

Britain juga menawarkan Malaysia supaya membeli pesawat pejuang typhoon dari negara itu, katanya.

Najib berkata, Britain juga menghargai penglibatan Malaysia dalam membawa perdamaian di selatan Filipina serta peranan yang dimainkan Kuala Lumpur dalam membantu menyelesaikan konflik di Syria.

Menurutnya, beliau dan Jansa bersetuju supaya Malaysia dan Slovenia mengadakan kerjasama antara pelabuhan.

‘‘Solvenia sebuah negara yang perlu diberi perhatian kerana ia boleh menjadi akses bagi syarikat dan pelabur Malaysia memasuki pasaran Eropah.

‘‘Kerajaan Malaysia dan Slovenia juga menggesa supaya pihak swasta antara kedua-dua negara berhubung antara satu sama lain demi kepentingan bersama," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment