My Add

Monday 5 November 2012

Penerima BR1M di Kedah dijangka lebih 500,000

ALOR SETAR, ISNIN, 05 November, 2012: Jumlah penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) di Kedah tahun depan dijangka melebihi 500,000 orang berbanding 318,000 sebelum ini.

Timbalan Pegawai Kemajuan Negeri Kedah, Ibrahim Abdullah berkata, bilangan penerima meningkat kerana turut melibatkan orang bujang yang layak, dianggar lebih 200,000 orang.

"Pendaftaran untuk BR1M sudah bermula 1 Nov sehingga 31 Dis depan. Bagi penerima sedia ada tidak perlu mendaftar lagi. Orang bujang yang mahu mendaftar boleh mendapatkan borang di Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).


"Mereka juga boleh mendapatkan borang di pejabat pembangunan negeri dan di enam cawangan zon, di Jabatan Penerangan dan Kemas selain memohon secara dalam talian LHDN," katanya selepas merasmikan Taklimat Belanjawan Kasih Sayang di Kompleks Bangunan Kerajaan Persekutuan di sini, hari ini.

Sementara itu, Ibrahim berkata, Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Kedah dengan kerjasama Jabatan Penerangan akan mengadakan penerangan mengenai Belanjawan 2013 kepada penduduk Kedah.

"Kita mulakan hari ini untuk peringkat negeri. Ia melibatkan penjawat awam, pemimpin masyarakat, pemimpin NGO (pertubuhan bukan kerajaan) dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP)," katanya.

Katanya, selepas ini program penerangan itu akan diteruskan ke daerah supaya rakyat di setiap kawasan menerima penjelasan lengkap mengenai belanjawan yang dibentang Perdana Menteri pada 28 September lalu. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment