My Add

Sunday 18 November 2012

Peneroka perlu komersialkan tanah terbiar

CHANGLUN, AHAD, 18 November, 2012: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani mencadangkan supaya tanah terbiar di rancangan Felda dimajukan dengan projek pertanian komersial bagi membantu generasi kedua atau anak-anak peneroka menambah pendapatan.

Timbalan Menterinya, Datuk Mohd. Johari Baharom berkata, pihaknya akan memberi segala bantuan yang diperlukan agar projek yang dirancang membuahkan hasil yang disasarkan.

Menurut beliau, tanah terbiar di rancangan Felda boleh diusahakan secara komersial dengan pelbagai tanaman termasuk sayur-sayuran, ternakan dan buah-buahan seperti pisang dan nanas sekali gus dapat mengurangkan kebergantungan negara terhadap import bahan makanan.

"Contohnya 50 tan metrik cili padi dibawa masuk setiap hari dari Thailand melalui Bukit Kayu Hitam. Jika kita tanam, ia boleh kurangkan import,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan “durian runtuh” kepada 85 orang generasi kedua Felda Laka Selatan, dekat sini, hari ini.

Felda memperuntukkan RM425,000 untuk pemberian durian runtuh fasa kedua bernilai RM5,000 bagi setiap keluarga.

Jelas beliau, tanah di rancangan Felda di Kedah sesuai untuk tanaman nanas dan jagung yang mendapat permintaan tinggi dan senario ini seharusnya dimanfaatkan anak-anak peneroka untuk mengusahakannya.

"Peneroka hanya perlu memohon untuk meminta kementerian menghantar pegawai pertanian untuk memberi penerangan dan bantuan yang diperlukan bagi melaksanakan projek-projek berpotensi,” tambahnya. — BERNAMA

No comments:

Post a Comment