My Add

Thursday 15 November 2012

Penghantaran ikut jadual

*MUHYIDDI Yassin (kiri) beramah mesra dengan pegawai-pegawai Petronas Brisbane Australia yang di ketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Australia Pty Limited, Helmi Ramli (dua kanan) sebelum menghadiri taklimat mengenai perkembangan usaha sama Petronas Brisbane dalam projek LNG Gladstone di Gold Coast, semalam. Turut hadir, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Australia, Datuk Salman Ahmad (tiga dari kiri), Ketua Kewangan Petronas Australia Pty Limited, Ahmad Zakri Md. Salleh (kanan) dan Ketua Komersial dan Pelaburan Hiliran Petronas Australia Pty Limited, Ezran Mahadzir. - BERNAMA

GOLD COAST, RABU, 14 November, 2012: Malaysia dijangka menerima penghantaran pertama gas asli cecair (LNG) yang dijana daripada arang batu (CSG) melalui projek usaha sama Petronas bersama tiga syarikat lain di Gladstone, Queensland sebagaimana diunjurkan pada suku pertama 2015.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, projek tersebut sangat penting kepada Petronas kerana ia menjadi sebahagian daripada aspirasi negara untuk membangunkan kaedah bukan konvensional dalam perniagaan LNG global.

Muhyiddin berkata, projek yang dibangunkan secara usaha sama antara Petronas, Santos, Total dan Kogas mendapat sokongan padu daripada pelbagai pihak di Australia.

‘‘Projek tersebut berjalan lancar dan kita harap kerjasama rapat semua pihak terlibat akan membuahkan kejayaan besar.

‘‘Petronas juga komited untuk menjayakan projek ini termasuk memastikan projek berkenaan memenuhi segala syarat dan keperluan yang berkaitan dengan kesihatan, keselamatan dan piawaian alam sekitar," katanya dalam satu kenyataan kepada wartawan Malaysia di sini, hari ini.

Sebelum itu Timbalan Perdana Menteri diberi taklimat oleh Ketua Bahagian Kewangan Petronas Australia Ahmad Zakri Md. Salleh dan Ketua Pelaburan -Komersial Hiliran Petronas Australia Ezran Mahadzir.

Muhyiddin adalah dalam rangka lawatan kerja sembilan hari ke Melbourne, Brisbane dan Gold Coast bermula Sabtu lalu. Projek GSC Gladstone bernilai RM55.5 bilion itu merupakan pelopor kepada inisiatif menukarkan gas asli daripada arang batu menjadi LNG bagi tujuan eksport.

Projek ini melibatkan pelaburan besar dalam menghasilkan sumber tenaga yang lebih bersih untuk masa depan.

Terletak di Queensland, projek ini melibatkan kerja-kerja membangunkan lapangan gas dari Bowen dan Surat Basins di Barat Daya Queensland yang kemudiannya disalurkan menerusi saluran paip bawah tanah sejauh 420 kilometer ke loji LNG di Curtis Island. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment