My Add

Sunday 4 November 2012

Penghidap diabetes di Kelantan semakin meningkat

PASIR PUTEH, AHAD, 04 November, 201: Jumlah penghidap penyakit diabetes di Kelantan semakin meningkat dengan statistik menunjukkan 20 daripada 100 penduduk negeri ini yang berumur 19 tahun ke atas didapati menghidap penyakit tersebut.

Pengarah Jabatan Kesihatan Kelantan, Datuk Dr Ahmad Razin Datuk Ahmad Mahir berkata statistik itu menunjukkan bahawa terdapat peningkatan yang sangat ketara pada kadar penghidap penyakit diabetes di kalangan penduduk Kelantan dan ini merupakan yang tertinggi berbanding negeri lain.

Dr Ahmad Razin berkata peningkatan itu adalah daripada 11 peratus pada 2006 kepada 15.2 peratus pada tahun lepas.

"Risikonya iaitu obesiti juga membimbangkan di mana terdapat peningkatan daripada 11.7 peratus pada 2006 kepada 19.7 peratus pada tahun lepas," katanya pada majlis perasmian Sambutan Hari Diabetes Sedunia 2012 Peringkat Negeri Kelantan di Sekolah Menengah Kebangsaan Kamil di sini, hari ini.

Majlis berkenaan dirasmikan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan.

Beliau berkata 59.4 peratus daripada kalangan penghidap pula sebenarnya tidak mengetahui bahawa mereka menghidap diabetes yang berpunca daripada pengambilan gula berlebihan di dalam makanan dan minuman.

Katanya ini disebabkan mereka tidak memberi perhatian tentang bahaya penyakit itu dan komplikasi yang serius adalah penyakit jantung, kegagalan buah pinggang, kebutaan dan amputasi kaki.

Dr Ahmad Razin berkata pesakit berkenaan mempunyai risiko dua hingga empat kali lebih tinggi untuk mendapat penyakit jantung dan lima kali ganda menghidap penyakit angin ahmar.

"Risiko untuk pemotongan kaki hampir 30 kali lebih tinggi daripada orang biasa," katanya.

Justeru beliau menasihati mereka yang mengalami masalah obesiti supaya mengubah tabiat pemakanan dan berusaha menurunkan berat badan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment