My Add

Wednesday 21 November 2012

Penjawat awam penyumbang kepada kejayaan Malaysia: TPM

KOTA KINABALU, SELASA, 20 November, 201:: Malaysia mengecapi pelbagai pencapaian sama ada di dalam negara mahupun di peringkat global berikutan kerjasama mantap penjawat awam, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, penjawat awam menjadi komponen penting dalam menentukan wawasan dan perancangan sosioekonomi negara mengikut matlamat serta sasaran yang ditetapkan.

Katanya, penjawat awam merupakan faktor penting dalam memberi nasihat, merancang dan melaksanakan matlamat pembangunan yang dibentuk.

"Walaupun dipisah daripada kepimpinan politik dari segi organisasi, pegawai-pegawai awam perlu berpegang kepada prinsip dan matlamat yang sama dengan kepimpinan semasa," katanya pada majlis perjumpaan bersama anggota perkhidmatan awam Sabah di sini hari ini.

Muhyiddin berkata, Malaysia tidak mungkin mencapai tahap pembangunan sekarang jika negara tidak cekap menjana persekitaran perniagaan yang kondusif dan cekap cara berdagang dalam pasaran dunia yang semakin kompetitif.

Negara, katanya berjaya meningkatkan pelaburan sektor swasta kepada RM94 bilion tahun lepas atau 19.4 peratus daripada tahun sebelumnya dan pelaburan asing yang turut meningkat kepada RM32.9 bilion tahun lepas atau 12.3 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Beliau juga berkata kemajuan Program Transformasi Ekonomi tahun lepas berjaya melancarkan 110 projek dengan potensi pelaburan RM179.2 bilion.

Di peringkat global pula, Muhyiddin berkata, Malaysia membuktikan kemampuan dalam meningkatkan aliran pelaburan masuk dan mendapat pengiktirafan Bank Dunia sebagai negara di tempat ke-12 dalam amalan perniagaan terbaik, mengatasi negara maju seperti Sweden, Taiwan, Jerman, Jepun dan Switzerland.

Di samping itu, beliau berkata, Laporan Persaingan Global menyenaraikan Malaysia sebagai negara kedua terbaik di kalangan negara Asean dan keenam di Asia Pasifik.

Menjelang pilihan raya umum ke-13, Muhyiddin berharap penjawat awam terus melaksanakan peranan masing-masing dalam menerangkan isu semasa yang sebenar mengenai kerajaan, terutamanya isu yang dibangkitkan oleh sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment