My Add

Wednesday 21 November 2012

Penjawat awam perlu cekap - TPM

KOTA KINABALU, SELASA, 20 November, 2012: Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, penjawat awam walaupun secara organisasinya dipisahkan daripada kepimpinan politik namun mereka masih perlu berpegang kepada prinsip dan matlamat yang sama dengan kepimpinan kerajaan semasa.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, sebagai pasukan berpengalaman dalam kerajaan, mereka mesti berupaya memberi nasihat yang bernas, berani menegakkan kebenaran dan sanggup bekerja lebih keras.

Katanya, nasihat yang baik hanya datang daripada pegawai yang progresif, berpengetahuan tinggi, bersemangat dan bersifat positif terhadap segala cabaran.

"Malaysia adalah sebuah negara dagangan atau 'trading nation'. Kita tidak mungkin mencapai tahap pembangunan sekarang jika tidak cekap menjana persekitaran perniagaan yang kondusif serta cara berdagang. Negara dagangan perlu bersaing dalam pasaran dunia," katanya pada majlis perjumpaan bersama anggota perkhidmatan awam negeri dan Persekutuan di sini hari ini yang turut dihadiri Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman.

Tambah Muhyiddin, penjawat awam adalah penentu utama kejayaan Dasar Transformasi Nasional yang bergantung sepenuhnya terhadap kecekapan dan keberkesanan mereka dalam melaksanakan sesuatu tugas.

"Cekap dalam erti kata melaksanakan sesuatu tugas mengikut jadual yang ditentukan, iaitu tidak mengambil masa yang terlalu lama membuat keputusan dan apabila sesuatu diputuskan, segera mengambil tindakan untuk melaksanakannya," katanya.

Mengenai peranan penjawat awam menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13, Timbalan Perdana Menteri mengingatkan mereka agar memahami dan menerangkan isu-isu semasa yang sebenar termasuk pandangan kerajaan kepada masyarakat.

Pada malam, Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden UMNO mengadakan pertemuan pada majlis makan malam bersama para pemimpin Barisan Nasional (BN) Sabah.

Yang turut hadir ialah Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal; Musa selaku Pengerusi BN Sabah; Presiden PBS, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan dan Naib Presiden UPKO, Datuk Dr. Ewon Ebin.

Yang lain termasuk Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Salleh Tun Said; Timbalan Presiden LDP, Senator Datuk Chin Su Phin; Pengerusi MCA Sabah, Datuk Edward Khoo Keok Hai; Pengerusi MIC Sabah, Datuk V. Jothi; Timbalan Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Datuk Ellron Alfred Angin; Pengerusi Parti Gerakan Sabah, Datuk Leong Vui Keong dan Setiausaha BN Sabah, Datuk Abdul Rahman Dahlan. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment