My Add

Tuesday 6 November 2012

Perancis minat hubungan dagang

 *NAJIB Tun Razak (depan, kanan) bergambar bersama ketua-ketua negara yang
menghadiri Sidang Kemuncak Asia-Eropah Ke-9 (ASEM 9) 2012 di Vientiane,
 Laos. - BERNAMA
 Oleh Mustafa Kamal Basri
VIENTIANE, ISNIN, 05 November, 2012: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Perancis berminat memperluaskan hubungan dagangan dengan Malaysia dalam bidang awam dan ketenteraan.

Menurut Perdana Menteri, Presiden Perancis Francois Hollande menyuarakan hasrat itu kepadanya semasa mereka mengadakan pertemuan dua hala di luar Sidang Kemuncak Asia-Eropah (ASEM) 2012 di sini hari ini.

Beliau berkata, Hollande menyatakan kemampuan Perancis untuk membekalkan produk awam seperti pesawat Airbus dan peralatan ketenteraan seperti jet pejuang Rafale serta helikopter.

‘‘Perancis juga bersedia meningkatkan perdagangan dalam apa juga produk dan perkhidmatan dalam bidang pertahanan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri sidang pleno ASEM mengenai krisis ekonomi dan kewangan global.

Beliau berkata, Presiden Perancis itu menyifatkan Malaysia sebagai negara yang penting dan mahu meningkatkan hubungan dua hala dengan Malaysia dalam pelbagai bidang yang memberi kepentingan bersama.

‘‘Syarikat penerbangan Air France juga akan memulakan penerbangan terus ke Kuala Lumpur selewat-lewatnya pada April atau Jun tahun depan," katanya.

Hollande juga menyatakan minatnya untuk melawat Malaysia sekiranya beliau membuat lawatan ke rantau ini, tambah Najib.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, semasa mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Norway, Jens Stoltenberg pula, pemimpin Norway itu memaklumkan bahawa negara itu berminat menawarkan kepakaran dalam industri minyak gas kepada Malaysia.

Beliau turut mengadakan pertemuan dua hala dengan Perdana Menteri Pakistan, Raja Pervaiz Ashraf yang menyifatkan Malaysia sebagai rakan rapat.

Mengenai ASEM, Najib berkata, ia satu forum yang sangat berguna bagi negara-negara di rantau Asia dan Eropah walaupun benua Eropah kini menghadapi krisis ekonomi dan kewangan.

‘‘Negara-negara ASEAN dan Asia boleh memanfaatkan kepakaran dan teknologi daripada Eropah dan negara-negara Eropah pula melihat Asia sebagai potensi pasaran perdagangan yang berpotensi,’’ katanya.

Katanya, Eropah mengakui Malaysia dan ASEAN merupakan sebuah jentera pertumbuhan ekonomi yang pesat di Asia dan atas dasar itu mereka memerlukan hubungan yang lebih mendalam dengan rantau ini. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment