My Add

Monday 26 November 2012

Pergerakan global bagi budayakan keamanan - PM

KUALA LUMPUR, ISNIN, 26 November, 2012:- Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kini adalah masa bagi pergerakan global menyebarluaskan budaya keamanan, dan menegaskan bahawa kini juga masa untuk menyingkirkan pendekatan membalas dendam dalam dunia yang telahpun berubah.

Beliau berkata terdapat keperluan untuk membawa pergerakan itu ke setiap minda insan bagi memadamkan keburukan akibat sikap tidak bertoleransi dan prasangka di samping kejahilan dan mementingkan diri yang mendesak masyarakat untuk mengulangi kitaran keganasan.

"Menyebarluaskan budaya keamanan, pada pendapat saya, adalah paling penting kepada masyarakat. Jika masyarakat mahu keluar daripada bayangan konflik dan melakukan permulaan yang baharu, anggotanya mesti dipupuk dalam sebuah budaya keamanan," katanya.

Najib berkata demikian ketika merasmikan Forum Antarabangsa UMNO kali ketiga bertemakan Konflik dan Perdamaian Dalam Politik Rakyat - Menoleh ke Belakang atau Memandang ke Hadapan? sempena persidangan Agung UMNO 2012 di sini.

Mengulas lanjut, beliau menggambarkan budaya keamanan sebagai merangkumkan satu nilai, sikap dan cara hidup berasaskan prinsip kebebasan, keadilan, demokrasi, toleransi, kesepakatan dan saling menghormati terhadap kepelbagaian, dialog dan persefahaman.

"Ia menyasarkan individu. Keamanan sebenarnya tidak ada melainkan minda berada dalam keadaan aman," katanya.

Najib berkata sebagai tambahan kepada organisasi negara dan antarabangsa, tindakan untuk meningkatkan budaya kemanan boleh dilakukan oleh komuniti dan pemimpin-pemimpin agama serta semua lapisan masyarakat seperti ibu bapa, keluarga, guru, artis, profesor, wartawan dan pelajar.

Perdana menteri berkata Malaysia berada pada kedudukan yang baik untuk menyumbang kepada usaha ini berdasarkan inisiatifnya dalam Gerakan Kesederhanaan dengan pandangan untuk menjadikan suara kesederhanaan mengatasi ekstremisme dan sikap tidak bertoleransi.

Najib berkata berpandukan nilai kesederhanaan, Malaysia membantu mencari penyelesaian perdamaian kepada konflik yang berlarutan selama 40 tahun di selatan Filipina membabitkan Bangsamoro dan kerajaan Filipina.

Perjanjian perdamaian telah dicapai, katanya, apabila beberapa perkara utama dipersetujui termasuk kedua-dua pihak mesti bersedia untuk berdamai dan terdapat kemahuan bahawa mereka mahu mencari penyelesaian untuk keamanan.

"Selepas itu timbul persoalan bagaimana atau aspek teknikal dan untuk itu ia adalah mencari pihak ketiga dan orang itu mestilah perantara yang benar-benar jujur. Dalam kes selatan Filipina, mereka mendapati ia adalah Malaysia," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment