My Add

Friday 16 November 2012

Perkasa kesal terhadap pendirian Dewan Ulama Pas

PASIR MAS, KHAMIS, 15 November, 2012: Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) kesal terhadap tindakan Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Harun Taib yang menyerahkan kepada orang ramai untuk menilai kenyataan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar berhubung kebebasan beragama perlu diguna pakai termasuk kepada orang Melayu.

Presidennya, Datuk Ibrahim Ali berkata, kenyataan tersebut dianggap cukup luar biasa yang dikeluarkan oleh Dewan Ulama kerana isu tersebut boleh mengguris hati umat Islam di negara ini serta memesongkan akidah.

Sehubungan itu, beliau mendesak Dewan Ulama Pas untuk menyatakan pendirian mereka berhubung kenyataan yang dilontarkan Ahli Parlimen Lembah Pantai itu.

"Mereka (Dewan Ulama Pas) perlu membuat penegasan berhubung isu berkenaan, jika tidak apa tugas dan tanggungjawab Dewan Ulama menasihat dan memimpin ke jalan yang benar.

"Tetapi dalam isu ini, mereka mengambil tindakan duduk di tengah-tengah dan boleh disifatkan tiada tulang belakang dan memalukan Dewan Ulama dalam hal-hal berkaitan dengan hukum agama," katanya.

Beliau mengulas kenyataan Harun yang menyerahkan kepada orang ramai untuk menilai kenyataan Nurul Izzah berhubung isu kebebasan beragama.

Terdahulu, Ibrahim meraikan seramai 175 kanak-kanak dari Dewan Undangan Negeri (DUN) Tendong dalam Majlis Khatan Perdana dan Sambutan Maal Hijrah Peringkat DUN di Dataran Tok Him Kampung Bunut Susu di sini hari ini.

Pada majlis tersebut, beliau turut meluangkan masa mengacau bubur asyura bersama 500 penduduk sekitar yang hadir pada majlis tersebut.

Mengulas lanjut, Ibrahim berkata, jika Pas terus berdiam diri dalam isu ini, parti itu dianggap sudah tidak layak untuk bercakap dan berjuang menggunakan nama Islam.

"Saya nasihatkan mereka berhenti bercakap soal Islam kerana perkara seperti ini mereka sudah berkompromi demi kepentingan politik dan mereka meletakkan politik lebih tinggi dari Islam.

"Jika mereka terus bercakap soal Islam, saya khuatir ia akan lebih mengelirukan dan mencemarkan nama Islam," tegasnya.

Dalam pada itu, Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas mahu Dewan Ulama Pas mendesak Nurul Izzah supaya menarik balik kenyataannya atau bertaubat berikutan kontroversi yang ditimbulkannya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment