My Add

Saturday 10 November 2012

Perkasa sokong kesediaan kerajaan

Oleh MOHD. ZULFADLI SHARIFUDIN
KUALA LUMPUR, JUMAAT, 09 November, 2012: Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) menyokong usaha kerajaan bertemu pertubuhan Hindraf untuk berbincang masalah yang dihadapi etnik tersebut asalkan tidak menyentuh sensitiviti Perlembagaan negara.

Walau bagaimanapun Presidennya, Datuk Ibrahim Ali mengingatkan pihak-pihak terbabit bersikap proaktif dan tidak melakukan tindakan bertentangan dengan dasar-dasar nasional apabila kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bersedia bertemu mereka.

“Jangan membuat pelbagai tuntutan luar biasa termasuk berunsurkan ugutan. Yang penting, apabila kedua-dua pihak bertukar fikiran dan membentangkan masalah, kita boleh lihat apa yang boleh dan apa yang tidak boleh dilaksanakan," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz bahawa kerajaan bersedia berbincang dengan semua kumpulan dalam komuniti masyarakat India termasuk pertubuhan haram Hindraf untuk menyelesaikan masalah berbangkit yang dihadapi oleh etnik berkenaan.

Ibrahim turut berpendapat, kerajaan sudah pasti mempunyai sebab-sebab khusus kenapa bersedia bertemu dengan Hindraf.

“Perkasa memberi sokongan terhadap usaha itu dan menunggu untuk melihat hasilnya," katanya.

Menurut Ibrahim, jika apa yang mahu dibangkitkan Hindraf itu adalah berkaitan masalah etnik India kerajaan sudah semestinya akan memberikan perhatian.

Beliau berpendapat, melalui cara perundingan yang berhemah juga perkara itu sudah tentu akan membuahkan hasil yang baik.

“Jika tiada pertemuan dilaksanakan, mungkin pihak-pihak terlibat tidak mengetahui masalah yang dihadapi, namun saya percaya permasalahan mana-mana kaum sudah tentu diberi perhatian oleh kerajaan," ujarnya.

Menurut Ibrahim, beliau menyatakan pendirian Perkasa dalam soal pertemuan tersebut kerana tidak mahu wujudnya persepsi kononnya kerajaan berlembut dengan Hindraf yang sebelum ini mengadakan demonstrasi jalanan.

Menurutnya, Perkasa juga mempunyai banyak perkara yang tersirat dalam perjuangan mereka namun dalam masa sama turut memahami agenda kerajaan dalam perkara-perkara tertentu.

Dalam masa sama, tambah beliau, Perkasa turut memahami jika kerajaan tidak bertemu Hindraf dan kumpulan-kumpulan seumpamanya, kumpulan itu berkemungkinan akan dipergunakan pihak-pihak lain.

“Pihak tersebut akan mengggunakan apa-apa sahaja cara bagi mencari keuntungan politik dan mereka ini akan bertemu dengan golongan yang tidak berpuas hati untuk mendapatkan sokongan.

“Kumpulan ini kadang-kadang tidak mengetahui masalah, keupayaan dan kemampuan negara. Oleh itu, perjumpaan ini boleh menyelesaikan masalah tersebut," katanya.

Menurut Ibrahim, perjumpaan dengan kerajaan itu juga lebih baik berbanding membiarkan kumpulan tersebut mengadakan demonstrasi jalanan yang bukan sahaja tidak berfaedah malah boleh mencetuskan ketegangan kaum. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment