My Add

Friday 9 November 2012

Permohonan guru diberi perhatian

 *MUHYIDDIN dan Noorainee Abdul Rahman melihat pelbagai jenis gasing sambil diperhatikan Mustapa Mohamed (kiri) pada Majlis perasmian Perhimpunan Guru Muda 1Malaysia di Kota Bharu, Kelantan, semalam. - BERNAMA

KOTA BHARU, KHAMIS, 08 November, 2012: Guru Muda 1Malaysia (GM1M) yang diilhamkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bakal menjadi pemangkin kepada guru muda dalam membantu melonjakkan transformasi pendidikan negara.

Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Abd. Ghafar Mahmud berkata, melalui GM1M, para pendidik akan turut sama memainkan peranan penting dalam merealisasikan hasrat tersebut.

Selain itu katanya, para pendidik muda itu juga akan turut sama menjadi pemangkin, sekali gus dapat memberikan sumbangan kepada program transformasi negara.

"GM1M turut bertujuan mengukuhkan lagi profesion perguruan di negara ini di samping memberi tumpuan utama untuk membina negara bangsa dan mengukuhkan perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia.

"Idea GM1M adalah ilham Timbalan Perdana Menteri dan tercetus daripada hasrat beliau untuk mengumpulkan guru muda di Kementerian Pelajaran sekali gus membantu negara menjayakan program transformasi.

"Sesungguhnya para pendidik di negara ini memainkan peranan penting dalam membantu negara merealisasikan hasrat tersebut," katanya.

Beliau berucap dalam Majlis perasmian Perhimpunan Guru Muda 1Malaysia (GM1M) peringkat Zon Timur di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Enggang, di sini hari ini.

Majlis perasmian tersebut disempurnakan oleh Muhyiddin.

Yang turut hadir isteri Timbalan Perdana Menteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek Hussein.

Tambah Abd. Ghafar, guru muda mempunyai sifat yang aktif, kreatif serta inovatif dan golongan itulah akan bersama pendidik sedia ada sebagai peneraju masa depan pendidikan negara.

"Mereka ini boleh memberi sumbangan kepada pencapaian keberhasilan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment