My Add

Wednesday 21 November 2012

Permohonan Khairy ketepi perintah hakim diketahui 26 November

KUALA LUMPUR, SELASA, 20 November, 2012: Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 26 November ini keputusan permohonan Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin untuk mengetepikan perintah seorang hakim yang menghalang beliau daripada membuat pembelaan dalam kes saman oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadapnya.

Saman tersebut berhubung dakwaan Khairy telah memfitnah Ketua Pembangkang itu dalam satu ceramah politik di Lembah Pantai pada 20 Februari 2008.

Tarikh tersebut ditetapkan oleh Hakim Datuk Hue Siew Kheng di kamar beliau hari ini selepas mendengar hujahan peguam Datuk Seri Dr. Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Khairy dan peguam Datuk Sulaiman Abdullah serta peguam J. Leela bagi pihak Anwar.

Khairy mengemukakan permohonan bertarikh 9 November lalu untuk mengetepikan perintah Hakim Siew Kheng yang dikeluarkan pada 13 Ogos lepas.

Perintah tersebut menghalang Khairy daripada membuat pembelaan dalam kes saman tersebut yang difailkan oleh Anwar pada 7 Mac 2008.

Dalam permohonan tersebut, Khairy menyatakan, beliau mempunyai pembelaan yang wajar untuk mengetepikan perintah hakim itu dan menegaskan, tindakannya tidak menyebabkan prejudis terhadap Anwar selaku plaintif.

Sebaliknya menurut Khairy selaku defendan, sekiranya tindakan itu menyebabkan prejudis terhadap plaintif, Anwar secara alternatif, boleh diberikan pampasan kos yang munasabah.

Anwar dalam pernyataan tuntutannya mendakwa, ekoran ceramah tersebut, defendan telah mengucapkan dan menyebabkan penerbitan satu rakaman klip video dalam beberapa laman web termasuk Malaysiakini.com. yang menerbitkan sebuah artikel bertajuk Anwar and kin no threat yang mengandungi kata-kata fitnah.

Plaintif mendakwa, kata-kata tersebut menyinggung dan merupakan fitnah dengan niat memperkecilkan diri beliau sebagai bekas Menteri Kewangan dan bekas Timbalan Perdana Menteri.

Sehubungan itu, plaintif menuntut ganti rugi pampasan RM100 juta, ganti rugi teruk, ganti rugi teladan dan perintah injunksi.

Pada 29 Jun lalu, Hakim Siew Kheng telah mengarahkan pihak defendan memfailkan beberapa dokumen bagi tujuan perbicaraan yang sepatutnya didengar hari ini.

Hakim tersebut juga mengingatkan, sekiranya Khairy tidak mematuhi arahan berkenaan, beliau akan membuat perintah bagi menghalangnya daripada membuat pembelaan dalam saman tersebut.

Sekiranya, Anwar pula tidak mematuhi arahan mahkamah, saman beliau akan dibatalkan.

Pada 13 Ogos lalu, oleh kerana pihak defendan dan peguamnya tidak mematuhi arahan supaya memfailkan beberapa dokumen, Hakim Siew Kheng telah membuat perintah tersebut.

Khairy yang tidak berpuas hati dengan keputusan itu, telah memfailkan permohonan pada 9 November lalu untuk mengetepikan perintah Hakim Siew Kheng. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment