My Add

Friday 9 November 2012

Pertahan akidah umat Islam
 
*NAJIB menyampaikan beg kepada pelajar sekolah pondok pada program ramah mesra bersama warga Pondok dan melancarkan Yayasan Pembangunan Pondok Malaysia (YPPM) di Masjid Taman Bukit Indah, Ampang, Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/AMIN FARIJ Hasan

Oleh SITI MAISARAH SHEIKH RAHIM
KUALA LUMPUR, KHAMIS, 08 NovEMBER, 2012: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, soal akidah umat Islam mesti dipertahankan dan tidak ada kompromi dalam perkara itu walaupun negara berkongsi nilai sejagat.

Kata beliau, ketika ini fahaman liberalisme dan pluralisme sedang menular dan memberi ancaman besar kepada umat Islam sehingga boleh menggugat keharmonian dan kestabilan kehidupan beragama serta bermasyarakat.

Namun, jelas beliau, adalah sesuatu yang amat malang kerana terdapat golongan yang mengamalkan fahaman tersebut serta disokong pula oleh pihak berkepentingan yang bersekongkol dengan golongan berfahaman sedemikian.

"Mereka ternyata silap mengenai konsep kemajmukan, sebab itu mereka melihat semua agama mempunyai nilai sama.

"Mutakhir ini banyak tuduhan dan kenyataan yang tidak bertanggungjawab dibuat mengenai Islam dan amalannya di negara kita, majoritinya tidak berdasarkan ilmu dan dibuat bagi memenuhi agenda atau kepentingan tertentu.

"Malangnya lagi, pengikut orang yang membuat tuduhan itu pun kurang pengetahuan juga lalu mudah mempercayainya dan hanya mengulangi apa yang mereka dengar tanpa memahami konsep sebenar, berdebat dan mempertikaikan tanpa asal usul perkara itu secara mendalam atau pengetahuan yang cukup," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis ramah mesra bersama warga Pondok sekali gus melancarkan Yayasan Pembangunan Pondok Malaysia (YPPM), di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mashitah Ibrahim; Profesor Ulung merangkap Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YPPM, Prof. Tan Sri Dr. Kamal Hassan dan Pengerusi YPPM, Juhaidi Yean Abdullah.

Menurut Perdana Menteri, isu agama merupakan isu sensitif termasuk soal bahasa, pendidikan dan tempat ibadat.

Sehubungan itu, Najib menyarankan semua pemimpin agar bersikap bijaksana dan berhemah dalam membicarakan sesuatu isu yang boleh menyentuh perasaan kaum atau penganut agama lain.

"Janganlah terbawa-bawa dengan sikap liberal dan demokrasi melampau yang tidak mengambil kira perasaan atau sensitiviti dan ketegangan kaum ketika membicarakan sesuatu isu secara terbuka dan bebas.

"Disebabkan kurang pengetahuan, salah tafsir tentang sesuatu konsep atau istilah serta sengaja diselewengkan, maka ini boleh membawa kepada ketegangan antara kaum dan penganut agama berlainan.

"Penghinaan terhadap umat Islam melalui tayangan filem, klip video, Youtube atau laman sosial serta apa-apa kenyataan tidak berasas boleh membawa padah," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Najib yang juga penaung YPPM berkata, institusi pondok perlu dipertahankan kerana pusat pengajian Islam itu masih kekal relevan dan menjadi benteng kepada identiti Melayu Islam rantau ini.

"Institusi pondok ini mesti dipertahankan kerana ilmu pondok boleh diguna dan dirujuk untuk kita menangani pelbagai serangan ilmiah dan trend pasca-modernisme yang sedang berlaku.

"Bagi menghadapi isu kebebasan mutlak, rasionalisme tanpa had, sekularisme, liberalisme dan pluralisme agama, maka hujah daripada teks pondok adalah lebih mantap," katanya.

Perdana Menteri berkata, kerajaan bersedia memberikan bantuan biasiswa kepada pelajar pondok untuk melanjutkan pengajian di peringkat tinggi bagi mereka yang tidak berkemampuan.

Najib sebelum itu turut melancarkan Direktori Pondok iaitu satu pangkalan data berhubung 110 pondok berdaftar seluruh negara.

Najib turut menyampaikan geran sebanyak RM100,000 bagi penubuhan sebuah pusat sumber di ibu pejabat YPPM.

Pada masa sama, beliau menyampaikan Anugerah Tokoh Pondok dan Anugerah Pondok Contoh 2012 kepada tiga tokoh, Pondok Terbaik serta 11 Pondok menerima Anugerah Kasih Perdana Menteri iaitu sejumlah dana untuk membaik pulih prasarana institusi mereka. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment