My Add

Thursday 8 November 2012

Pihak keluar kenyataan sentuh sensitiviti boleh dipenjara: Mashitah

KUALA LUMPUR, RABU, 07 November, 2012: Mereka yang mengeluarkan kenyataan menyentuh sensitiviti masyarakat termasuk yang mengelirukan sehingga membawa perpecahan dan sebagainya boleh dikenakan tindakan undang-undang.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Dr Mashitah Ibrahim berkata, Seksyen 298A Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara dua hingga lima tahun jika mereka disabitkan kesalahan.

"Selain itu peruntukan itu turut merangkumi kesalahan memudaratkan atau cuba memudaratkan keadaan harmoni dan bersatu atau alasan keagamaan di antara orang atau kumpulan orang yang menganuti agama yang sama atau berlainan," katanya hari ini.

Beliau menjawab soalan Amran Ab Ghani (PKR-Tanah Merah) mengenai langkah yang diambil kerajaan dalam pengeluaran fatwa oleh individu tidak diiktiraf, pada persidangan Dewan Rakyat di sini.

Mashitah berkata, seseorang individu tidak boleh menyalah guna kebebasan bersuara untuk mengeluarkan kenyataan yang menyentuh sensiviti masyarakat terutama berkaitan agama sehingga menjejaskan ketenteraman awam.

Menjawab soalan tambahan Datuk Mohamed Aziz (BN-Sri Gading), Mashitah berkata walaupun tidak ada peruntukan undang-undang khusus terhadap orang Islam yang membuka ruang kepada seorang Islam lain memilih agama sendiri, mereka yang melakukannya masih boleh dikenakan tindakan kerana menghina agama Islam atau menyebabkan Islam dipandang hina. 

Mohamed ingin tahu tindakan yang boleh dikenakan terhadap Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat, Nurul Izzah Anwar yang didakwa mengeluarkan kenyataan bahawa kebebasan beragama wajar meliputi semua termasuk orang Melayu.

Mengulas lanjut, Mashitah berkata setiap negeri juga mempunyai enakmen masing-masing untuk mengambil tindakan terhadap kes sedemikian.

Ada enakmen negeri yang memperuntukkan denda tidak lebih RM3,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya kepada mereka yang secara lisan atau bertulis mempersenda Islam atau menyebabkan Islam dihina, katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment