My Add

Saturday 17 November 2012

PM bangkit isu keganasan Israel terhadap Palestin dengan Obama

Oleh Marhaini Kamaruddin
PHNOM PENH, Kemboja, JUMAAT, 16 November, 2012: Datuk Seri Najib Tun Razak akan membangkitkan isu keganasan Israel terhadap Palestin dalam pertemuan dengan Presiden Barack Obama semasa Mesyuarat Ketua-Ketua Negara ASEAN-Amerika Syarikat (AS) Keempat di Peace Palace di sini, Isnin depan.

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman berkata, isu yang sama juga akan dibangkitkan oleh Perdana Menteri sepanjang Sidang Kemuncak ASEAN Ke-21 dan sidang-sidang kemuncak berkaitan yang berlangsung sebelum mesyuarat tersebut.

“Konflik yang berlarutan di Palestin sentiasa berada di dalam perhatian dan menjadi keutamaan Malaysia lebih-lebih dengan perkembangan terbaru yang berlaku di negara itu. Saya percaya Perdana Menteri akan mengambil kesempatan membangkitkan isu ini dalam sesi dialog Presiden Obama bersama para pemimpin ASEAN pada Isnin depan," katanya kepada wartawan Malaysia yang membuat liputan Sidang Kemuncak ASEAN Ke-21 dan sidang-sidang kemuncak berkaitan di Hotel Phnom Penh, di sini hari ini.

Anifah memberitahu, Perdana Menteri juga akan menggesa komuniti antarabangsa untuk menyokong usaha Palestin mencapai status negara pemerhati dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Najib akan mengetuai delegasi Malaysia ke sidang kemuncak tersebut yang akan berlangsung selama tiga hari mulai Ahad ini. Perdana Menteri yang diiringi isteri, Datin Seri Rosmah Mansor dijadual tiba esok malam dengan disertai Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed serta pegawai-pegawai kanan kementerian dan agensi berkaitan.

Dalam pada itu, menurutnya, sidang kemuncak kali ini akan memperakukan Kenyataan Bersama Mesyuarat Ketua-Ketua Negara ASEAN-AS Keempat yang akan menjadi garis panduan bagi meningkatkan hubungan kerjasama ASEAN-AS ke peringkat yang lebih strategik.

Tambah beliau, ketua-ketua negara ASEAN akan turut mengambil maklum Laporan Kumpulan Tokoh-Tokoh Terkemuka ASEAN-AS yang mengandungi beberapa cadangan bagi mencapai hasrat tersebut.

Ditanya mengenai konflik Rohingya, Anifah yakin isu tersebut akan dibangkitkan oleh Perdana Menteri dalam pertemuan dua hala dengan Presiden Myanmar, U Thien Sein pada Ahad ini.

Najib juga dijadual mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan sejawatannya dari China, Wen Jiabao dan Vietnam, Nguyen Tan Dung,

masing-masing pada Ahad dan Isnin ini.

Dalam pertemuan dengan Jiabao, Perdana Menteri dijangka membincangkan isu pertindihan tuntutan di Laut China Selatan yang kini hangat diperkatakan.

“Malaysia akan terus memainkan peranan aktif untuk menyelesaikan isu-isu itu yang menjadi cabaran bersama. Kita percaya setiap pertindihan tuntutan perlu diselesaikan menurut undang-undang antarabangsa termasuk UNCLOS 1982," katanya.

Sungguhpun mengakui isu itu penting, Anifah berkata, Perdana Menteri akan memastikan ia tidak menjejaskan tumpuan terhadap usaha menubuhkan Komuniti ASEAN menjelang 2015.

Sehingga kini, ujar beliau, Malaysia berpuas hati dengan perkembangan berkaitan dengan pelaksanaan Deklarasi Tatalaku Pihak-pihak di Laut China Selatan (DOC) dan Kod Etika di Laut China Selatan (COC).

Mengenai Pergerakan Kesederhanaan Global (GMM), Anifah berkata, Perdana Menteri akan mencadangkan agar negara anggota Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) menubuhkan Pusat Rujukan Kebangsaan (NFP) masing-masing untuk memperkasakan lagi agenda kesederhanaan menerusi program-program yang dianjurkan.

Menurutnya, inisiatif GMM yang digerakkan oleh Malaysia itu kian mendapat sokongan meluas termasuk oleh Sidang Kemuncak Mesyuarat Asia-Eropah (ASEM) di Vientiane, Laos pada 5 dan 6 November lalu. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment