My Add

Wednesday 7 November 2012

PM lancar Yayasan Pembangunan Pondok 1Malaysia Khamis ini

KUALA LUMPUR, SELASA, 06 November, 2012: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan melancarkan Yayasan Pembangunan Pondok 1Malaysia di Masjid Taman Bukit Indah Ampang, Khamis ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Dr Mashitah Ibrahim, yang juga penasihat kehormat yayasan itu, berkata yayasan berkenaan yang ditubuhkan oleh badan bukan kerajaan, bertujuan mengumpul seluruh warga pondok di negara ini di bawah satu entiti.

Selain itu, ia juga bertujuan memudahkan orang ramai mendapatkan maklumat mengenai aktiviti sekolah pondok di negara ini, katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata pada majlis itu, Najib akan turut melancarkan logo, laman web dan direktori sekolah pondok di negara ini.

Seramai 2,000 pelajar, guru dan petugas 110 sekolah pondok di Malaysia akan turut hadir, kata Mashitah yang merupakan bekas pelajar sekolah pondok.

Beliau berkata perdana menteri juga dijadual menyampaikan anugerah "Tokoh Pondok 2012", "Pondok Contoh 2012" dan anugerah "Kasih Perdana Menteri 2012" pada majlis itu. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment