My Add

Wednesday 21 November 2012

PNB akan umum jual satu lagi anak syarikat

KUALA LUMPUR, SELASA, 20 November, 01: Permodalan Nasional Bhd (PNB) akan mengumumkan penjualan satu lagi syarikat selewat-lewatnya akhir bulan depan, kata Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman.

Katanya proses itu akan memakan masa memandangkan ia melibatkan syarikat di bawah syarikat yang disenarai awam miliknya, yang agak besar berbanding empat syarikat lain yang telah diumumkan sebelum ini.

"Syarikat itu (yang akan dijual) yang akan diumumkan sendiri (oleh syarikat tersenarai awam berkenaan). Kita menganggarkan sebelum hujung tahun ini akan dikeluarkan (diumumkan) sebabnya ini melibatkan yang besar sedikit. Jadi, dengan sendirinya proses itu perlu memakan masa," katanya, tanpa mengulas lebih lanjut.

Hamad Kama Piah berkata demikian kepada pemberita selepas pengumuman agihan pendapatan bagi Amanah Saham Nasional 3 Imbang di sini hari ini.

Sebelum itu, pada Mei tahun ini, PNB mengumumkan hasratnya untuk menjual FEC Cables Sdn Bhd dan tiga lagi syarikat melalui syarikat pelaburan UMW Holdings Bhd, iaitu U-Travelwide Sdn Bhd, U-Insurance Sdn Bhd dan Inobel Sdn Bhd, yang telah diiklankan pada bulan Julai.

"Untuk FEC Cables, kita telah pun membuka peluang kepada pelabur yang berminat untuk mengambil alih syarikat tersebut tetapi pada dasarnya walau pun minat ditunjukkan kepada kita tetapi akhirnya tidak ada satu pun pembida itu yang memenuhi kriteria yang ditetapkan oleh panel pemilih," katanya.

"Jadi, dengan sendirinya, kita akan buka kepada pembida-pembida lain, tiada masalah. Sementara tiga lain di bawah UMW Holdings, masih dalam proses memilih (pembeli yang layak)," katanya. 

Pelupusan pegangan lima syarikat oleh PNB itu adalah bagi menyahut seruan kerajaan dalam meningkatkan ekuiti dan penyertaan Bumiputera dalam negara.

Menyentuh tentang Menara Warisan, Hamad Kama Piah berkata PNB masih menunggu arahan pembangunan (DO) dari Dewan Bandaraya Kuala Lumpur bagi memulakan proses seterusnya.

Dari 100 tingkat berkenaan, sebanyak 80 tingkat adalah untuk pejabat manakala 20 tingkat lagi untuk hotel, katanya.

Setakat ini, banyak syarikat dalam kumpulan itu telah menunjukkan minat dan memberikan komitmen mereka untuk menduduki 60 tingkat dari 100 tingkat itu bagi kegunaan pejabat masing-masing. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment