My Add

Sunday 18 November 2012

Presiden Myanmar beri jaminan atasi isu Rohingya

YANGON, SABTU, 17 November, 2012: Presiden Myanmar, Thein Sein (gambar) memberi jaminan untuk mempertimbangkan beberapa hak baharu etnik minoriti Rohingya, tetapi tidak memberi komitmen kepada taraf kewarganegaraan dan kebebasan kepada etnik itu.

Dalam surat yang dihantar kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam, Thein Sein mengutuk 'keganasan tanpa perasaan' yang berlaku di negeri Rakhine antara penganut Buddha dan etnik Islam Rohingya, yang telah mengorbankan hampir 200 orang sejak Jun lalu serta menyebabkan lebih 100,000 menjadi pelarian.

Bagaimanapun, Thein Sein tidak berjanji dalam surat itu ataupun menawarkan sebarang tempoh bagi menyelesaikan ketegangan yang berlaku di Rakhine.

Walaupun begitu, hal tersebut menampakkan perubahan positif mengenai nasib Rohingya kepada komuniti antarabangsa dan kepada Barack Obama, yang dijadualkan tiba Isnin minggu depan untuk lawatan pertama ke Myanmar sebagai Presiden Amerika Syarikat (AS).

White House sebelum ini mendesak Myanmar bertindak segera menghentikan persengketaan dan berkata, Obama akan menekankan isu itu kepada Thein Sein, bersama permintaannya untuk membebaskan tahanan politik sejajar dengan perubahan negara itu ke arah demokrasi selepas diperintah oleh junta tentera selama setengah abad.

Dalam surat tersebut, Thein Sein juga berkata, kerajaannya bersedia membentangkan isu kontroversi yang pelbagai bermula 'daripada penempatan semula masyarakat yang tiada tempat sehingga kepada mengurniakan taraf kerakyatan," menurut kenyataan Jurucakap Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon, mengenai petikan surat tersebut.

Thein Sein berkata, beliau juga akan melihat isu berkaitan kebenaran bekerja dan kebebasan untuk bergerak untuk Rohingya bagi memastikan mereka mendapat layanan sama rata.

PBB mengeluarkan kenyataan dengan mendakwa surat Thein Sein sebagai satu langkah menuju 'ke arah yang betul.'

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sama ada Thein Sein melalui suratnya itu telah mengubah pendiriannya berhubung taraf kewarganegaraan untuk Rohingya.

Beliau sebelum ini menyatakan undang-undang kewarganegaraan yang ketat hanya membenarkan Rohingya yang keluarganya mendiami Myanmar sebelum mendapat kemerdekaan dari British pada tahun 1948 adalah warga negara. - Agensi

No comments:

Post a Comment