My Add

Wednesday 21 November 2012

Prestasi Harimau Malaya makin membimbangkan

KUALA LUMPUR, RABU, 21 November, 2012: Semakin membimbangkan - itulah yang boleh disimpulkan mengenai prestasi skuad Harimau Malaya menjelang saingan Piala AFF Suzuki 2012 yang bermula di sini, Ahad ini.

Melihatkan perkembangan prestasi anak buah Datuk K.Rajagobal menghadapi kempen tersebut yang berbaki empat hari lagi, skuad Harimau Malaya masih tercari-cari rentak dan kemampuan mereka untuk mempertahankan piala berkenaan menjadi tanda tanya.

Berdasarkan empat perlawanan persahabatan antarabangsa terakhir sejak awal bulan ini, jelas memperlihatkan betapa 'skuad impian' negara itu tidak berada pada tahap sepatutnya dan mendapat kritikan hebat daripada pelbagai pihak, termasuk pemimpin tertinggi Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Bermula dengan dua kekalahan kepada Vietnam 0-1 dan Thailand 0-2, persembahan skuad Harimau Malaya terus hambar apabila sekadar masing-masing seri 1-1 bertemu Hong Kong dan terbaru menentang Bangladesh, semalam.

Situasi berkenaan membuatkan peminat bola sepak negara tertanya-tanya mengenai keupayaan skuad Harimau Malaya dalam mempertahankan piala yang dimenangi dua tahun lalu itu.

Lebih parah, dua keputusan seri itu menimbulkan persoalan mengenai kredibiliti Rajagobal kerana kedua-dua pasukan berkenaan berada di ranking ke bawah berbanding Malaysia yang berada pada ranking ke-163 dunia.

Untuk rekod, Vietnam berada pada ranking ke-138 dunia, Thailand (152), Bangladesh (171) dan Hong Kong (172).
Pada edisi Piala AFF Suzuki kali ini, skuad Harimau Malaya diundi dalam Kumpulan B bersama Indonesia, Singapura dan Laos.

Malaysia akan membuka tirai perlawanan dengan menentang Singapura pada Ahad ini, berdepan Laos pada 28 November sebelum melengkapkan aksi kumpulan menentang Indonesia pada 1 Disember.

Semua perlawanan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Kumpulan A pula terdiri daripada pasukan tuan rumah Thailand, Vietnam, Myanmar dan Filipina.

Kemenangan Singapura yang berkongsi ranking dengan skuad Harimau Malaya, pada aksi persahabatan membelasah Pakistan 4-0 baru-baru ini serta keputusan seri 0-0 apabila Indonesia berdepan skuad bawah 23 tahun Cameroon perlu diambil serius skuad Harimau Malaya.

Sebelum ini, Rajagobal berkata ranking pasukan kebangsaan tidak penting dan menuntut anak buahnya mempamerkan aksi cemerlang tetapi persembahan skuad Harimau Malaya pada aksi persahabatan lepas meresahkan peminat yang masih dahagakan kemenangan.

Turut menjadi persoalan ialah strategi yang direncanakan jurulatih berusia 56 tahun itu dalam memilih kesebelasan utama negara bagi membawa cabaran Malaysia pada Piala AFF Suzuki kali ini.

Eksperimen demi eksperimen Rajagobal sepatutnya telah diterjemahkan menjadi 'resepi' sempurna bagi membentuk pasukan kebangsaan yang mantap tetapi sebaliknya skuad Harimau Malaya masih menampilkan aksi longlai.

Persoalan turut timbul dalam kalangan peminat bola sepak tempatan mengenai pemilihan pemain yang bakal menggalas cabaran negara pada kejohanan dwitahunan itu.

Ini kerana ada sebahagian mereka tidak berada pada tahap prestasi sebenar jika dibandingkan dengan aksi mereka bersama pasukan kelab dan negeri masing-masing.

Apa pun yang berlaku, jutaan peminat berharap skuad Harimau Malaya mampu bangkit dalam misi mempertahankan kejuaraan pada kejohanan bola sepak berprestij di rantau Asean ini. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment