My Add

Monday 5 November 2012

Produk ayam syarikat terkenal diuji di makmal

Oleh NOOR HASLIZA NUSI dan MULLER ASEN
GEORGETOWN, AHAD, 04 November, 2012: Operasi sebuah syarikat pengeluaran produk makanan sejuk beku dan ayam segar terkenal di negara ini mungkin dihentikan jika ujian makmal oleh Kementerian Kesihatan terhadap produk daging ayam keluaran syarikat terbabit didapati mengandungi antibiotik yang diharamkan.

Menterinya, Datuk Seri Liow Tiong Lai (gambar) berkata, pihaknya sudah dimaklumkan mengenai dakwaan terdapat antibiotik yang dikenali sebagai Chloramphenicol pada produk ayam syarikat itu dan kini sedang menunggu keputusan ujian yang dilakukan oleh Bahagian Makanan kementerian tersebut.

Menurutnya, siasatan awal dibuat dan telah dihantar ke makmal apabila penemuan antibiotik itu dalam daging ayam dikesan oleh pihak veterinari di Sarawak baru-baru ini.

“Hanya stok yang dikenal pasti itu telah ditarik balik daripada pasaran sebagai langkah keselamatan. Saya tengah tunggu laporan makmal yang dijangka siap dalam tempoh terdekat untuk mendapatkan kepastian sebelum keputusan lanjut dibuat.

“Siasatan akan dijalankan secara menyeluruh termasuk mengesan bagaimana bakteria itu boleh terkandung di dalam produk daging ayam tersebut,” katanya pada satu sidang akhbar ketika mengadakan lawatan rasmi ke Hospital Pulau Pinang (HPP) di sini semalam.

Chloramphenicol merupakan sejenis antibiotik yang berfungsi untuk menghalang pertumbuhan bakteria selain digunakan untuk merawat pelbagai jangkitan mata pada manusia.

Kewujudan antibiotik tersebut pada ayam bagaimanapun dikatakan boleh memberi kesan sampingan kepada orang ramai yang memakannya seperti muntah, cirit-birit dan sakit kepala.

Beliau mengulas langkah kerajaan negeri Sarawak pada Khamis lalu yang mengeluarkan larangan import produk berkenaan berkuat kuasa serta-merta selepas satu ujian menemui antibiotik Chloramphenicol.

Sementara itu, di Kuching, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Rohani Abdul Karim memberitahu, pihaknya tidak akan teragak-agak untuk menarik balik produk makanan sejuk beku dan ayam segar keluaran sebuah syarikat terbabit di pasaran jika dakwaan penggunaan antibiotik berkenaan disahkan.

Menurutnya, ketika ini pihaknya belum lagi menerima sebarang kenyataan rasmi daripada Kementerian Kesihatan atau Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani berhubung dakwaan itu.

“Jika benar dakwaan itu, kita tidak akan teragak-agak mengambil tindakan ke atas pembekal ayam segar sejuk beku dan produk ayam tersebut,” katanya di sini semalam. - Kosmo

No comments:

Post a Comment