My Add

Sunday 18 November 2012

Program JLKN bersama masyarakat Disember ini

KOTA BHARU, AHAD, 18 November, 201:  Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) akan mengadakan program mendekati dan mengetahui masalah masyarakat luar bandar pada pertengahan bulan depan, kata Ketua Pengarah Latihan Khidmat Negara, Datuk Abdul Hadi Awang Kechil.

Beliau berkata, program itu antara lain bertujuan mendekatkan jabatan itu dengan masyarakat secara meninjau dan menyelami masalah rakyat untuk dicari jalan penyelesaian oleh kerajaan.

"Selain mengetahui masalah masyarakat setempat, ia akan mendepani permasalahan yang timbul dalam kalangan masyarakat mengenai program latihan khidmat negara,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.

Beliau berkata, program itu akan menyaksikan kira-kira 5,000 peserta dan kakitangan bahagian pengurusan JLKN dari 81 kem seluruh negara menemui orang ramai selain mengadakan aktiviti termasuk pameran dengan kerjasama jabatan dan agensi kerajaan berkaitan.

Abdul Hadi berkata, program yang julung kali diadakan itu akan juga melibatkan Briged Sukarelawan Khidmat Negara yang dianggotai bekas pelatih PLKN.

Ujar beliau, JLKN dengan kerjasama Kementerian Pengajian Tinggi sedang mengenal pasti bekas pelatih PLKN yang kini menyambung pelajaran di institusi pengajian tinggi untuk menyertai briged berkenaan.

Beliau selanjutnya menjelaskan, setakat ini briged tersebut telah diwujudkan di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim dan Universiti Sains Islam Malaysia di Nilai.

Urusan pendaftaran sedang dilaksanakan di UPSI yang mempunyai bilangan bekas pelatih paling ramai, katanya. — BERNAMA

No comments:

Post a Comment