My Add

Monday 5 November 2012

Projek landasan Malaysia-Laos RM15 bilion


 *NAJIB Tun Razak tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Wattay bagi menghadiri Sidang Kemuncak Kesembilan Asia-Eropah (ASEM 2012) di Vientiane, Laos, semalam. Turut kelihatan Rosmah Mansor dan Than Tai Hing (belakang kanan). - BERNAMA
VIENTIANE, AHAS, 04 November, 2012: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan menyaksikan majlis menandatangani perjanjian konsesi projek pembinaan landasan kereta api elektrik berkembar antara sebuah syarikat Malaysia dan kerajaan Laos di sini esok, sempena Sidang Kemuncak Kesembilan Asia-Eropah (ASEM) 2012..

Projek tersebut akan dilaksanakan oleh syarikat Malaysia, Giant Consolidated Ltd. sepanjang 220 kilometer dari Savvannakhet ke Lao Bao di sempadan Vietnam melibatkan kos kira-kira AS$5 bilion (RM15 bilion).

Perdana Menteri yang merupakan antara 48 ketua kerajaan dan ketua negara menghadiri sidang kemuncak selama dua hari itu bermula esok, tiba di sini petang ini diiringi Datin Seri Rosmah Mansor.

Ketibaan beliau dan isteri disambut Timbalan Menteri Luar, Senator A. Kohilan Pillay; Duta Besar Malaysia di Laos, Datuk Than Tai Hing serta beberapa pegawai kanan kerajaan Malaysia dan Laos.

Sempena sidang kemuncak itu, Najib dijadual mengadakan pertemuan dengan Presiden Perancis, Francois Hollande; Perdana Menteri Norway, Jen Stoltenberg dan juga Perdana Menteri Pakistan, Raja Pervaiz Ashraf.

''Mesyuarat antara Perdana Menteri dan pemimpin-pemimpin itu dijangka tertumpu kepada usaha meningkatkan hubungan dua hala dan kerjasama ekonomi dan perdagangan serta isu-isu kepentingan bersama," kata Tai Hing pada sidang akhbar di sini.

Najib juga akan merasmikan pembukaan cawangan Maybank pertama di Laos esok dan melawat pameran syarikat-syarikat Malaysia yang melabur di Laos, serta mengadakan perjumpaan dengan ahli-ahli perniagaan Malaysia di negara ini.

Perasmian cawangan Maybank itu melengkapkan operasi Maybank di kesemua 10 negara anggota ASEAN.

Perdana Menteri dan isteri juga akan menghadiri majlis makan malam dianjurkan Presiden Laos, Choummaly Sayasone di Don Chan Palace Hotel di sini esok.

Mengenai perdagangan, Tai Hing berkata, perdagangan antara Malaysia dan Laos pada tahun lalu berjumlah AS$14.8 juta (RM44 juta) dengan eksport berjumlah AS$14 juta (RM42 juta).

Dari tahun 2000 hingga 2011, jumlah pelaburan Malaysia di Laos dianggar berjumlah AS$165 juta (RM495 juta) dan ini menjadikan Malaysia pelabur asing kesembilan terbesar di Laos.

''Anggaran ini tidak termasuk beberapa projek besar lain seperti pembinaan landasan kereta api elektrik berkembar, projek hidro elektrik Don Sahong di selatan Laos dan sebuah lagi projek hidro elektrik di Nam Tha di utara negara ini, yang berjumlah lebih AS$5 bilion (RM15 bilion).

Sebanyak 51 negara menghadiri Sidang Kemuncak ASEM 2012.

Laos merupakan negara ketiga dalam ASEAN menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak ASEM selepas Hanoi dan Bangkok sejak ia ditubuhkan pada 1996 di Bangkok. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment