My Add

Friday 9 November 2012

Rakyat Kelantan perlu bangkit - Mustapa

RANTAU PANJANG, KHAMIS, 08 November, 2012: Rakyat Kelantan perlu bangkit melakukan transformasi politik setelah 22 tahun ketinggalan dalam arus pembangunan.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, rakyat Kelantan perlu memberi sokongan penuh kepada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum akan datang bagi membolehkan pembangunan dilaksanakan dengan lebih terancang.

Beliau yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, pembangunan negeri ini akan dapat dilaksanakan dengan lebih terancang sekiranya kerajaan negeri diterajui oleh BN.

Sambil menegaskan UMNO dan Barisan Nasional (BN) negeri sentiasa bersiap sedia bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang, beliau turut yakin rakyat negeri ini sebenarnya juga tidak sabar menunggu saat itu kerana inginkan perubahan.

"Mereka tahu kerajaan BN adalah yang terbaik, yang mampu melakukan perubahan rakyat dan negeri," katanya berucap dalam majlis Jamuan Rakyat 1Malaysia Bersama Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Kolej Kemahiran Tinggi Mara, di sini hari ini.

Hadir sama, isteri Timbalan Perdana Menteri, Puan Sri Norainee Abdul Rahman; Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Negeri, Datuk Dr. Awang Adek Hussin; Penyelaras Parlimen Rantau Panjang yang juga Ketua UMNO bahagian, Datuk Abdullah Mat Yassin dan Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan Kelantan, Datuk Makhtar Mustapha.

Dalam perkembangan lain, Mustapa berkata, kerajaan Pusat tidak pernah menganaktirikan rakyat negeri ini biarpun Kelantan dikuasai oleh kerajaan pembangkang sejak 22 tahun lalu.

Beliau berkata, sebagai bukti kebanyakan infrastruktur dan prasarana yang terdapat di negeri ini adalah hasil usaha kerajaan BN.

"Walaupun hanya bertindak sebagai pembangkang, kerajaan BN tidak pernah menafikan soal kebajikan rakyat dengan menyalurkan pelbagai bentuk bantuan.

"Malah tidak kurang juga, banyak kemudahan asas yang dilaksanakan oleh BN untuk rakyat seperti sekolah, jalan, jambatan dan sebagainya," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment