My Add

Wednesday 14 November 2012

Rakyat sambut baik 1MOCC

Oleh BADRUL HAFIZAN MAT ISA
 KUALA LUMPUR, SELASA, 13 November, 01: Pusat Panggilan 1Malaysia (1MOCC) yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam, diharap berkesan bagi mengendalikan sebarang pertanyaan, aduan atau cadangan daripada orang ramai berkenaan perkhidmatan awam.

Orang ramai yang ditemui Utusan Malaysia menyambut baik inisiatif tersebut tetapi mereka menggesa agar 1MOCC benar-benar berupaya menyelesaikan pelbagai kemusykilan selain para pegawai khidmat pelanggan yang bertugas dapat melayan aduan diterima dengan lebih mesra.

Seorang peniaga, Azman Awang, 42, berkata, perkhidmatan tersebut amat dialu-alukan terutama golongan sepertinya yang seringkali berurusan dengan pelbagai agensi kerajaan.

"Namun inisiatif yang diwujudkan kerajaan ini perlu benar-benar beroperasi bagi menjawab segala permasalahan dan rungutan rakyat kerana sebelum ini ada pelbagai talian khidmat pelanggan agensi kerajaan yang gagal berfungsi seperti diharapkan," katanya di sini hari ini.

Pekerja swasta, Afzairi Hazrul Mohd. Asri, 27, pula berkata, adalah penting untuk perkhidmatan dan sistem terbaharu itu dilengkapi pekerja yang arif dan berkemahiran bagi mengendalikan operasinya.

"Ini merupakan inisiatif yang baik, namun bagi memastikan sistem beroperasi dengan efisien, para pegawai bertugas perlu dilengkapi dengan pengetahuan dan kemahiran berkaitan agar sentiasa bersedia mengendalikan pelbagai aduan dan pertanyaan orang ramai," katanya.

Semalam, ketika melancarkan 1MOCC di Putrajaya, Perdana Menteri berkata, semua operator kementerian, agensi kerajaan dipusatkan dengan satu nombor sahaja iaitu 03-80008000 untuk rakyat mengemukakan sebarang pertanyaan, aduan atau cadangan.

Katanya, pusat tersebut beroperasi 24 jam sehari, tujuh hari seminggu dan 365 hari setahun termasuklah pada hari cuti umum.

Lima saluran komunikasi iaitu telefon, khidmat pesanan ringkas, faks, e-mel dan media sosial menjadi platform untuk rakyat menyalurkan apa sahaja kemusykilan atau cadangan.

Pengguna boleh memilih untuk menggunakan faks di talian 03-8000 8001, melayari laman web di www.malaysia.gov.my, e-mel di 80008000@1mocc.gov.my dan menerusi laman-laman sosial iaitu facebook.com/myGovernment dan twitter.com/myGovPortal.

Tambah Najib, 1MOCC diterajui Unit Permodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan (MAMPU) dengan penyertaan Kementerian Kewangan, Jabatan Perkhidmatan Awam, Perbadanan Putrajaya dan Telekom Malaysia (TM) selaku rakan strategik.

Seorang pegawai tentera, Rosle Mat Isa, 40, berpendapat, perkhidmatan tersebut ternyata mampu memudahkan orang ramai berurusan.

"Apa yang lebih penting, orang ramai tidak perlu lagi mengingati banyak nombor lain kerana dengan hanya satu nombor ini, mereka boleh menghubungi pelbagai agensi kerajaan dan ini ternyata lebih mudah," katanya.

Seorang pekerja swasta, Nurain Shamsudin, 21, pula berkata, 1MOCC lebih menjimatkan masa serta lebih dekat dengan generasi muda sepertinya kerana mereka boleh membuat aduan menggunakan laman-laman sosial.

"Sebarang pertanyaan dan aduan kini boleh diutarakan dengan lebih mudah. Apa pun diharapkan setiap pertanyaan tersebut dapat diambil maklum dan dibalas dengan segera oleh pihak berkaitan," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment