My Add

Saturday 10 November 2012

Rumah jagaan wanita diserbu

 *SEBAHAGIAN penghuni KEWAJA yang diselamatkan semalam.- Foto Zulfadhli Zulkifli
Oleh Nor Fazlina Abdul Rahim dan Nor Azizah Mokhtar
KUALA LUMPUR, 10 November, 2012: Sebuah pusat jagaan wa n ita menempatkan 69 penghuni yang terpaksa berhimpit-himpit dalam sebuah rumah teres satu tingkat di sini, ditutup kerana beroperasi secara haram.

Ketika serbuan di Pusat Jagaan Kebahagiaan Wanita dan Remaja (KEWAJA) di Jalan Sungai Mulia, Setapak, rumah itu dihuni 42 wanita mengandung, 19 ibu sedang berpantang dan 7 penghuni bermasalah serta seorang bayi perempuan berusia lima bulan.

 Semua wanita itu berusia antara 14 hingga 30 tahun yang sebahagiannya sudah tinggal di situ sejak 11 bulan dan paling baru seminggu lalu.

Penghuni berkenaan mendakwa membayar RM2,000 sebelum masuk ke pusat jagaan itu dan terpaksa menyerahkan bayi mereka kepada keluarga angkat dipilih penjaga pusat berkenaan dengan bayaran tidak diketahui.

Mereka mendakwa hanya dibenarkan melihat bayi mereka pada hari kelahiran dan hari penyerahan bayi kepada keluarga angkat.

Serbuan Jabatan Kebajikan Masyarakat itu berikutan laporan polis lebih 20 penghuni pusat jagaan itu yang melarikan diri malam Sabtu lalu, di Balai Polis Setapak yang mendakwa pusat jagaan itu memberi layanan buruk dan tidak membenarkan mereka menghubungi keluarga.

Pengarah JKM Wilayah Persekutuan, Noormah Abdul Rauf, berkata premis itu ditutup untuk siasatan lanjut selepas mendapati pengusaha pusat jagaan itu gagal berdaftar sebagaimana diperuntukkan mengikut Seksyen 5 (1) Akta Pusat Jagaan 1993.

Katanya, JKM bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) serta Hospital Kuala Lumpur (HKL) dalam melaksanakan operasi itu.

“Siasatan mendapati, pengusaha pusat berkenaan beroperasi tanpa lesen, had bilangan penghuni melebihi keluasan ruang lantai yang dibenarkan, nisbah penjaga dan penghuni, kawalan dan latihan kepada penghuni selain tidak mempunyai menu serta jadual aktiviti harian.

“Berdasarkan keluasan lot rumah tiga bilik tidur dan satu bilik air itu, pengusaha hanya boleh menempatkan 28 penghuni, namun mereka menempatkan 69 penghuni,” katanya di sini, semalam.

Noormah berkata, pengusaha premis terbabit pernah memohon mendapatkan lesen pada 2003, namun gagal kerana beliau enggan mematuhi peraturan ditetapkan dan pada masa sama pihaknya memberi saranan apa yang sepatutnya dilakukan bagi membolehkan lesen diperoleh.

Bagaimanapun katanya, pengusaha premis enggan bekerjasama dengan pihaknya sebaliknya berkeras meneruskan operasi pusat jagaan itu.

“Semua mangsa kini ditempatkan di pusat jagaan sementara di Pandan Indah untuk soal siasat. Sekiranya mereka mahu pulang ke pangkuan keluarga, kita akan menghubungi ahli keluarga mereka dan jika sebaliknya, kita akan menempatkan mereka di lokasi yang sesuai,” katanya. - BH

No comments:

Post a Comment