My Add

Tuesday 6 November 2012

Syarat kepada syarikat telco berhubung pelaksanaan rebat RM200

TANJUNG MALIM, SELASA, 06: Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan dalam proses menyediakan syarat kepada Syarikat Telekomunikasi (telco) yang menjual telefon bimbit bertaraf telefon pintar sebelum pelaksanaan pemberian rebat RM200 mulai 1 Januari depan.

Menterinya, Datuk Seri Dr Rais Yatim, berkata perbincangan akan dijalankan bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berikutan terdapat beberapa pindaan berhubung syarat pelaksanaan itu sebelum ia diputuskan dalam masa terdekat.

"Kita akan menjalankan kaedah yang lebih mudah meliputi cara pendaftaran pengenalan kedai yang boleh dibeli, di samping tanggungjawab syarikat telco yang seharusnya berasas kepada bukti pembelian, cara pemulangan duit RM200 kepada pihak yang menjualnya," katanya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan Kad Diskaun Siswa 1Malaysia (KADS1M) dan Program Renta Kampus serta Program Ramah Mesra Mentor Menteri Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bersama Mahasiswa di sini, hari ini.

Turut hadir Pengurus Besar Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA), Datuk Hasnul Hassan, Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Datuk Fuad Hassan, Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian iaitu Datuk Dr Rothiah Omar dan Datuk Ab Ghaffar A Tambi serta Naib Canselor UPSI Profesor Datuk Dr Zakaria Kasa.

Rais berkata, cara pemberian rebat sama ada melalui kad atau tuntutan, juga akan diteliti terlebih dulu dan pengguna boleh menyemak melalui laman web.

Beliau berkata, syarat perlu dipatuhi setiap penjual ialah mereka tidak mengambil kesempatan dengan menaikkan harga telefon bimbit.
"Saya yakin bahawa pembelian telefon bimbit, yang dianggap sebagai telefon canggih ini, akan mendapat sambutan," katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada pembentangan Belanjawan 2013 September lalu, mengumumkan pemberian rebat RM200 secara 'one-off' bagi golongan belia berumur 21 hingga 30 tahun untuk membeli seunit telefon mudah alih pintar 3G yang bertujuan membuka akses maklumat kepada mereka.

Terdahulu, Rais bersama 100 ahli Kumpulan Rakan Siswa Malaysia (KARISMA) UPSI berkonvoi menaiki motosikal untuk melawat sekitar Kampus Sultan Azlan Shah sebelum merasmikan Ruang Rakan Siswa di pejabat KARISMA. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment