My Add

Thursday 8 November 2012

Sedia bincang dengan Hindraf

KUALA LUMPUR, RABU, 07 November, 2012: Kerajaan bersedia berbincang dengan semua kumpulan dalam komuniti masyarakat India termasuklah pertubuhan haram Hindraf untuk menyelesaikan masalah berbangkit yang dihadapi oleh etnik berkenaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, langkah tersebut diambil bertujuan untuk mengelakkan kaum India di negara ini berasa disisihkan kerana hakikatnya mereka merupakan sebahagian daripada pembentukan Malaysia.

Katanya, sesetengah pihak seperti Hindraf dilihat sebagai sebuah pertubuhan ekstrem tetapi kerajaan bersedia bertemu dan duduk berbincang dengan kumpulan tersebut, termasuklah mana-mana kumpulan etnik berkenaan pada bila-bila masa untuk membincangkan masalah berbangkit mewakili kaum mereka.

"Untuk menjayakan hasrat ini, kami mengalu-alukan kepulangan bekas pemimpin Hindraf, P. Wathyamoorthy ke negara untuk membincangkan perkara ini. Saya fikir beliau masih berada di United Kingdom (UK), kami beri jaminan bahawa beliau tidak akan ditahan kerana tujuan utama adalah mahu berbincang mengenai masalah dihadapi kaum India.

"Ini jaminan yang diberikan oleh kerajaan, bukannya saya. Langkah ini diambil bagi mengelakkan masyarakat India di negara ini daripada berasa tersisih, sebaliknya kerajaan mahu mereka sedar bahawa mereka adalah sebahagian daripada Malaysia," katanya dalam sidang akhbar di pejabatnya di bangunan Parlimen hari ini.

Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Mohamed Nazri memberitahu, kerajaan telah melakukan pelbagai inisiatif untuk membantu kaum berkenaan termasuk dalam Program Transformasi Ekonomi (ETP) untuk komuniti India.

"Kerajaan telah melaksanakan pelbagai insiatif seperti dibawah pelan ETP untuk masyarakat India, membina lebih banyak sekolah Tamil, tetapi masih kedengaran suara-suara yang kurang berpuas hati dengan apa yang telah dilakukan. Kami mahu tahu mengenai apa yang mereka kurang pusa hati, jadi, cara terbaik ialah dengan duduk berbincang bersama.

"Kerajaan bimbang, sekiranya perkara ini tidak diterangkan secara terperinci, kaum India akan terus berasa tersisih walaupun hakikatnya perkara itu tidak pernah berlaku," jelasnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment