My Add

Wednesday 21 November 2012

Sepakat kecam serangan Israel


Oleh RAJA SYAHRIR ABU BAKAR
KUALA LUMPUR, SELASA, 20 November, 2012: Ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN), pembangkang dan Bebas mengetepikan ideologi politik masing-masing dan sepakat mengecam keras kekejaman terbaru rejim Israel yang menyerang Wilayah Palestin di Gaza sejak 14 November lalu.

Usul yang dibentangkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz di Dewan Rakyat bagi pihak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak itu dibahaskan oleh 10 Ahli Parlimen selama kira-kira 70 minit kemudiannya diluluskan pada sidang hari ini.

Usul bertajuk 'Mengecam serangan kejam oleh Israel ke atas wilayah Palestin di Gaza' tersebut turut menyertakan 10 ketetapan antaranya mengkritik rejim Zionis itu dan merayu badan serta masyarakat antarabangsa untuk melaksanakan beberapa perkara penting bagi menghentikan tindakan tidak berperikemanusiaan itu.

Mohamed Nazri ketika menggulung usul itu memberitahu, Najib telah mengadakan pertemuan dengan Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama di Phnom Penh, Kemboja hari ini sempena Sidang Kemuncak ASEAN Ke-21 bagi menggesa kuasa besar tersebut meminta Israel menghentikan serangan berkenaan serta-merta.

"Obama telah memberitahu Perdana Menteri pihaknya akan berusaha menamatkan serangan Israel dan AS juga akan menghidupkan semula proses damai kedua-dua negara terutama dasar penyelesaian dua negara iaitu penyelesaian adil terhadap isu Palestin-Israel," katanya.

Sementara itu, Mohamed Nazri menjelaskan, negara konsisten mengecam segala bentuk keganasan Israel ke atas Palestin melalui mesyuarat pelbagai gerakan antarabangsa seperti Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) baru-baru ini.

Menurutnya, Malaysia juga berpandangan tindakan ganas Israel yang mengorbankan orang awam termasuk golongan kanak-kanak dan wanita itu secara jelas mencabuli undang-undang antarabangsa.

Dalam pada itu, katanya, Malaysia yang mengamalkan perdagangan bebas dengan masyarakat dunia tidak mempunyai kuasa untuk memastikan hasil eksport negara tidak sampai ke Israel melalui penjualan barangan itu oleh rakan dagang lain sungguhpun tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel.

"Sebagai negara yang mengamalkan sistem perdagangan bebas, Malaysia tidak boleh menyekat hasil eksport kita termasuk destinasi akhir barangan eksport berkenaan," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment