My Add

Friday 16 November 2012

Sepanjang hidup saya perjuang Islam - Harussani

KUALA LUMPUR, 15 November, 2012:. Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria menyangkal dakwaan Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Harun Taib bahawa beliau tidak menyokong perjuangan Islam.

Tegas Harussani, Islam akan terus beliau perjuangkan sepanjang hidupnya termasuk isu-isu berkaitan perpaduan umat.

"Sepanjang hidup, saya akan terus memperjuangkan Islam dan belum pernah saya tak bercakap mengenai Islam.

"Cuma, saya tak menyokong perjuangan parti yang menamakan dirinya Islam tetapi perjuangannya hanya menyeru perpecahan dan menanam kebencian sesama ummah hingga berlaku perpisahan (perpecahan) dalam kalangan orang Islam," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Harun yang memintanya bertaubat kerana tidak menyokong perjuangan Islam seperti dipetik dalam portal berita milik Pas, Harakahdaily hari ini.

Harun mendakwa sedemikian ekoran nasihat Harussani agar Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar bertaubat serta menarik kenyataannya berhubung kebebasan beragama di kalangan orang Melayu.

Kenyataan Harun berbunyi: "Bagi saya dia (Nurul Izzah) tidak perlu (taubat) kerana taubat kalau buat kesalahan besar. Jika itu kena bertaubat, Harussani juga kena taubat kerana dia tak sokong perjuangan Islam."

Harussani berkata, isu perpecahan umat Islam telah mula 'berputik' sejak 50 tahun kebelakangan ini sehingga membuatkan sesama Islam saling membenci.

"Inilah yang telah berlaku. Sepanjang itu saya menyeru supaya orang Islam bersatu. Perkara itu sangat penting. Dia (parti yang menggunakan nama Islam) tak akan berjaya. Kerana kecewa dan sakit hati, sebab itu mereka suka menghukum orang lain. Perkara seperti ini yang membuatkan orang lain semakin membenci Islam," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment