My Add

Tuesday 6 November 2012

Seramai 449 pelajar terjejas berikutan banjir di empat negeri

BATU PAHAT, SELASA, 06 November, 2012: Seramai 449 pelajar sekolah rendah dan sekolah menengah terjejas berikutan kejadian banjir yang melanda empat negeri setakat ini.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zakarshi berkata, daripada jumlah itu 22 pelajar merupakan calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), manakala dua pelajar merupakan calon peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM).

"Daripada 22 pelajar yang mengambil SPM itu, tujuh pelajar kita tempatkan di asrama sekolah mereka, manakala selebihnya tinggal di rumah saudara-mara," katanya di sini, hari ini.

Beliau yang juga ahli Parlimen Batu Pahat berkata demikian selepas mengadakan lawatan di pusat pemindahan banjir di Sekolah Kebangsaan Sg Suloh, Senggarang dan majlis penyampaian sumbangan bantuan Kelab Putera 1Malaysia.

Turut hadir Presiden Kelab Putera 1Malaysia, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim yang menyampaikan sumbangan tilam 1M, barangan makanan, barangan keperluan harian, pakaian dan perubatan.

Puad berkata, sehingga kini 14 sekolah rendah telah dijadikan pusat pemindahan sementara mangsa banjir dengan 11 daripadanya di Johor dan masing-masing sebuah di Perak, Melaka, dan Selangor.

Bagaimanapun, katanya, setakat ini tidak ada sekolah menengah yang terjejas dengan banjir dan peperiksaan SPM yang dijalankan di seluruh negara setakat ini berjalan lancar.
Beliau turut meminta pihak sekolah supaya mengikuti 'Pekeliling Payung' yang dikeluarkan oleh pihak kementerian bagi menangani ancaman banjir selain memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak yang berkenaan berhubung mangsa pemindahan yang ditempatkan di sekolah mereka.

"Kita harap sekolah yang mudah ditenggelami air supaya ambil tindakan menyelamatkan dokumen dan peralatan penting dengan meletakkannya di tempat yang tinggi.

"Kita tidak mahu peralatan seperti komputer rosak berikutan banjir yang berlaku itu," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment