My Add

Thursday 22 November 2012

Sokong cari penyelesaian isu minyak, gas

PENAMPANG, RABU, 21 November, 2012: Kerajaan akan menyokong apa sahaja cadangan baik yang menepati kehendak rakyat termasuk cadangan untuk mewujudkan mekanisme bagi membincang dan mencari penyelesaian ‘menang-menang’ terhadap sumber asli iaitu minyak dan gas di Sabah.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sekiranya berpatutan dan munasabah yang semestinya mengambil kira denyut nadi rakyat, maka kerajaan tidak mempunyai sebab untuk menafikannya.

Katanya, kerajaan Barisan Nasional (BN) sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab, telus dan jujur sesungguhnya pada setiap masa tidak akan sesekali berselindung di atas sebarang agenda kerana menyedari bahawa semua hasil bumi itu adalah harta rakyat.

“Namun apa sahaja yang akan kita buat itu mesti berterusan dan mampan, bukan sekadar untuk sekarang tetapi amat perlu untuk jangka masa panjang. Mekanisme itu mungkin dalam bentuk jawatankuasa yang boleh dibincangkan di peringkat negeri sebelum dikemukakan ke Pusat.

“Saya tiada halangan, saya turut akan nyatakan perkara ini kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak). Tetapi kita tidak boleh hanya fikirkan mengenai perkara ini sahaja (hasil minyak dan gas) kerana sehingga kini sebenarnya terlalu banyak yang diberikan untuk pembangunan Sabah dan rakyatnya," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Persidangan Perwakilan Tahunan Parti Bersatu Sabah (PBS) ke-27 di sini hari ini yang turut dihadiri oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman dan Presiden PBS, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan.

Terdahulu, Pairin dalam ucapan alu-aluan merayu supaya kerajaan mewujudkan mekanisme khusus bagi membincang dan mencapai penyelesaian ‘menang-menang’ ke atas sumber asli seperti minyak dan gas supaya keperluan negeri dan hasrat rakyat dapat diambil berat. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment