My Add

Friday 2 November 2012

Sudan boleh ambil contoh Malaysia gubal dasar mesra pelabur: Mahathir

KHARTOUM: Malaysia boleh dijadikan contoh oleh Sudan dalam menggubal undang-undang dan dasar mesra pelabur dalam usahanya menarik lebih banyak pelaburan asing ke negara itu, kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata, polisi yang mesra pelabur sangat penting bagi Sudan memandangkan ketiadaan dasar berkenaan menyebabkan pelabur asing khuatir dan ragu-ragu untuk membuat pelaburan di negara kedua terbesar di benua Afrika itu.

"Sekarang Sudan sudah pun aman, peperangan antara selatan dan utara sudah pun berakhir dan mereka menandatangani perjanjian untuk menjalin kerjasama.

Dengan kestabilan ini dan mengambil contoh polisi yang digunakan di Malaysia, saya yakin negara ini berpotensi untuk tumbuh dengan pesat," katanya kepada wartawan Malaysia selepas menyampaikan ucapan di hadapan kira-kira 1,000 tetamu yang terdiri daripada pelajar universiti, ahli akademik dan ahli korporat serata Sudan, di sini pada Khamis.

Terletak di utara Afrika yang bersempadan dengan laut Merah antara Mesir dan Eritrea, ekonomi Sudan berpotensi dikembangkan, terutama dalam sektor pertanian memandangkan negara itu mempunyai banyak hasil ternakan dengan pengeluaran lebih 100 juta ekor lembu, kambing dan unta, setahun.

Dr Mahathir juga berkata, Malaysia boleh menawarkan kepakarannya dalam pengurusan, dengan mengambil FELDA sebagai contoh.

"Saya berpendapat satu daripadanya ialah Felda, memandangkan agensi itu mempunyai tenaga kerja. Jika skim Felda diperkenalkan di sini, saya yakin ia akan membawa banyak manfaat kepada Sudan," katanya.

Sebelum ini, Pengerusi FELDA, Tan Sri Isa Samad pernah menyatakan hasrat Sudan yang berminat menjadikan teknologi serta konsep yang dilaksanakan FELDA untuk membangunkan bidang penanaman, khususnya untuk aktiviti komersil tanaman gam Arab di negara itu.

Semalam, Dr Mahathir turut menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara syarikat Sudan dan Malaysia dalam pelbagai sektor.

Sebanyak tujuh MoU ditandatangani yang membabitkan syarikat Malaysia seperti Syarikat Pembangunan Buku Hijau Holdings Sdn Bhd, Mimos Bhd, Malaysia Airports Holdings Bhd dan FELDA.

Selain itu, beliau berkata, bekalan daging lembu Sudan juga bakal memberi impak yang besar kepada negara terutama dari segi pertumbuhan perdagangan dua hala antara Sudan dan Malaysia sekali gus membuka peluang perniagaan kepada syarikat Malaysia untuk melabur di Sudan.

"Kita memang dari dulu ingin mendapatkan bekalan daging dari Sudan kerana negara ini mempunyai berjuta-juta lembu. Dahulunya, mereka simpan lembu sebagai tanda kekayaan tetapi generasi muda kini ingin mendapatkan hasil dari lembu ini khususnya melalui eksport," katanya.

Ternakan memainkan peranan penting dalam ekonomi Sudan dan meliputi hampir 50 peratus jumlah eksport pertanian negara yang kebanyakannya dipasarkan di Timur Tengah.

Dalam ucapannya Dr Mahathir berkongsi pengalaman Malaysia dalam usaha membangunkan ekonominya sejak zaman sebelum Merdeka sehingga ke tahapnya sekarang.

Katanya, Malaysia menongkah arus dengan menjemput pelabur asing ke negara itu ketika trend semasa belum mengenali apa itu pelaburan langsung asing, selain memperkenal Dasar Pandang ke Timur. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment