My Add

Wednesday 21 November 2012

SUHAKAM sambut baik Deklarasi Hak Asasi Manusia ASEAN

KUALA LUMPUR, SELASA, 20  November, 2012 : Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) menyambut baik penerimagunaan Deklarasi Hak Asasi Manusia ASEAN (AHRD) ketika berlangsungnya Sidang Kemuncak ASEAN di Kemboja, Ahad lalu.

Dalam kenyataan di sini hari ini, pengerusi SUHAKAM, Tan Sri Hasmy Agam, berkata perisytiharan itu membuktikan wujudnya perkembangan positif dalam mendukung dan melindung hak asasi manusia di rantau ini.

"Suruhanjaya ini sangat gembira dengan penegasan semula negara anggota ASEAN tentang komitmen mereka terhadap Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR), Piagam Pertubuhan Bangsa Bersatu, Deklarasi dan Program Tindakan Vienna serta instrumen hak asasi manusia lain yang ditandatangani negara anggota ASEAN.

"Kami dapati AHRD meliputi pelbagai hak yang dikategorikan secara berasingan sebagai Hak Sivil dan Politik, Hak Ekonomi, Hak Sosial dan Budaya, Hak Pembangunan dan Hak Menikmati Keamanan yang walaupun semuanya seiring dengan standard hak asasi manusia antarabangsa tetapi tertakluk kepada sembilan prinsip umum," katanya.

Beliau berkata, walaupun SUHAKAM tidak berniat untuk meremehkan peri penting dan bergunanya semua prinsip itu namun suruhanjaya itu kecewa kerana terdapat ruang yang membenarkan sekatan dikenakan berdasarkan alasan lebih meluas daripada yang diterima di peringkat antarabangsa.

"Walaupun Prinsip Umum Ketujuh mengisytiharkan bahawa semua hak asasi manusia adalah bersifat sejagat, tidak boleh dibelah bahagi, saling bergantung dan saling berkaitan, tetapi ia turut memberi perakuan bahawa negara anggota boleh mengambil kira latar belakang politik, ekonomi, perundangan, sosiobudaya dan sejarah mereka dalam melaksanakan hak asasi manusia di negara masing-masing," katanya.

Hasmy berkata, suruhanjaya itu bimbang prinsip berkenaan boleh melemahkan keseluruhan semangat deklarasi berkenaan dan menyekat pelaksanaan dan perlindungan penuh hak asasi manusia di rantau ini. 

Katanya, SUHAKAM juga ingin menarik perhatian kepada Perkara 5 Deklarasi dan Program Tindakan Vienna yang menyebut bahawa adalah menjadi tugas setiap negara untuk mendukung dan melindungi hak asasi dan kebebasan asasi manusia tanpa mengira sistem politik, ekonomi dan budaya yang mereka amalkan.

"Suruhanjaya ini juga kesal kerana deklarasi itu dirangka dengan memiliki keterbukaan dan ketelusan yang terhad dan tidak menyediakan ruang perundingan secukupnya dengan pelbagai pemegang kepentingan termasuk Institusi Hak Asasi Manusia Kebangsaan yang berminat untuk memberi sumbangan serta berazam untuk memastikan AHRD adalah setara dengan deklarasi hak asasi manusia lain," katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, suruhanjaya itu dan anggota lain Forum Institusi Hak Asasi Manusia Kebangsaan Asia Tenggara akan terus bekerjasama dengan kerajaan negara anggota Asean dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Antara Kerajaan ASEAN dalam melaksanakan AHRD dengan sepenuhnya dan tanpa sebarang sekatan.

Ahad lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan sembilan pemimpin ASEAN lain menandatangai AHRD, yang antara lain bertujuan melindungi hak asasi manusia daripada semua lapisan kehidupan, termasuk kanak-kanak dan wanita. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment