My Add

Sunday 18 November 2012

Swasta digalak bantu atasi pengangguran remaja

*MUHYIDDIN Yassin mendengar penerangan daripada Maha Sinnathamby (tengah) mengenai model pembangunan bandar Springfield di Brisbane, Australia, semalam. - BERNAMA

BRISBANE, SABTU, 17 November, 2012: Kerajaan akan memberi sokongan padu kepada mana-mana syarikat swasta yang mahu bekerjasama membantu mengurangkan masalah keciciran dan pengangguran di kalangan remaja.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, langkah ini amat dialu-alukan kerana masalah pengangguran dan keciciran pada usia muda tidak boleh diselesaikan oleh organisasi awam sahaja.

Syarikat-syarikat swasta ini kata beliau, boleh menjalankan program yang menggalakkan kumpulan remaja sedemikian kembali semula ke sekolah atau mengikuti latihan vokasional sebagai persediaan memasuki alam pekerjaan.

''Program sebegini sudah tentunya dapat memulihkan semula semangat remaja yang telah meninggalkan alam persekolahan pada usia muda untuk kembali belajar," katanya kepada wartawan Malaysia selepas mengadakan lawatan ke Boystown, di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Australia, Datuk Salman Ahmad.

Boystown merupakan sebuah pertubuhan bukan berasaskan keuntungan yang membantu golongan remaja keciciran dalam pelajaran menerusi pelbagai program dan perkhidmatan bagi meningkatkan kualiti hidup golongan itu.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, syarikat-syarikat swasta tempatan boleh mencontohi pendekatan yang digunakan oleh Boystown untuk membantu golongan bermasalah itu.

Katanya, organisasi ini berupaya menyelesaikan hampir 80 peratus masalah golongan berkenaan khususnya dalam aspek numerasi-literasi, sikap, perwatakan serta masalah keluarga.

''Selain itu ia juga berjaya mengembalikan keyakinan diri golongan ini," katanya.

Timbalan Perdana Menteri sebelum itu mendengar taklimat yang disampaikan oleh Pengurus Besar BoysTown, John Perry tentang kejayaan pertubuhan itu membantu remaja Australia yang tercicir dan menganggur sejak 50 tahun lalu.

Boystown yang mempunyai 550 kakitangan berjaya melatih 1,500 remaja dengan 550 daripada mereka kembali ke alam persekolahan, 450 pula mengikuti latihan vokasional manakala selebihnya berusaha mencari pekerjaan sendiri pada tahun 2010 sahaja.

Sementara itu, Muhyiddin turut meluangkan masa meninjau projek pembangunan hartanah Greater Springfield yang dijalankan oleh seorang bekas warganegara Malaysia, Maha Sinnathamby yang juga Pengerusi Springfield Land Corporation.

Muhyiddin yang akan menamatkan lawatan kerja sembilan hari ke Australia akan pulang ke tanah air esok. - MINGGUAN

No comments:

Post a Comment