My Add

Thursday 8 November 2012

Tabung Haji selesai agih RM1.15 juta zakat pendidikan

IPOH, KHAMIS, 08 November, 2012: Lembaga Tabung Haji (TH) mencapai sasarannya untuk mengagih zakat pendidikan berjumlah RM1.15 juta kepada 2,300 pelajar kurang berkemampuan di seluruh negara pada tahun ini.

Ketua Pegawai Teknologi Maklumat TH, Mohd Yassin Tahir berkata, sumbangan pendidikan itu diberi kepada pelajar yang memerlukan di seluruh negara bermula dengan Johor pada bulan lalu, dan berakhir di Perak hari ini.

"Di Perak, TH sudah mengagihkan sumbangan zakat pendidikan sebanyak RM100,000 di mana setiap pelajar menerima sumbangan RM500, yang berupa kelengkapan sekolah bernilai RM200 dan wang tunai sebanyak RM300 setiap seorang," katanya pada Majlis Penyampaian Sumbangan Pendidikan Tabung Haji 2012 Peringkat Negeri Perak di sini.

Beliau berkata, pada majlis itu, seramai 200 pelajar 30 sekolah menengah sekitar daerah Kinta Utara dan Kinta Selatan menerima zakat berkenaan.

"Adalah diharapkan sumbangan ini dapat memberi dorongan serta menjadi motivasi kepada pelajar miskin dan kurang berkemampuan untuk ke sekolah mengejar ilmu serta memburu cita-cita masing-masing," katanya.

Seorang penerima bantuan, Muhammad Ajadda Hidayatullah Djasmin, dari sekolah Ma'ahad Al-Ummah, Chemor berkata wang yang diterima akan diguna untuk membeli buku pendidikan.

"Saya akan menggunakan bantuan ini untuk meringankan beban ibu dan ayah serta membayar yuran persekolahan," kata anak sulung tujuh beradik itu.- BERNAMA

No comments:

Post a Comment