My Add

Tuesday 6 November 2012

Takaful Padi akan diperluas

*NOH Omar bertanyakan sesuatu kepada siswazah pertanian pada majlis
perjumpaan bersama siswazah tani dan usahawan Tanaman Kekal Pengeluaran
 Makanan (TKPM) di Dewan Institut Pertanian Serdang, semalam.
SERDANG, ISNIN, 05 November, 2012: Skim Perlindungan Takaful Padi, yang diperkenal dalam Bajet 2013, mungkin diperluas kepada tanaman lain seperti sayuran dan ternakan, bergantung kepada kejayaan skim itu bagi padi.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar berkata, pada masa ini, agak sukar untuk melaksanakan skim itu di sektor lain kerana kekurangan maklumat dan data lengkap.

"Kita tengok dulu macam mana Skim Perlindungan Takaful Padi ini berjalan kerana ini baru percubaan pertama kali.

"Dalam masa yang sama, kita juga minta jabatan berkaitan dapatkan fakta yang jelas berkaitan tanaman lain," katanya kepada pemberita selepas majlis perjumpaan menteri dengan siswazah tani dan usahawan Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) di Institut Pertanian Serdang hari ini.

Dalam pembentangan Bajet 2013, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan Skim Perlindungan Takaful Padi kepada pengusaha sawah di bawah 10 hektar, yang memanfaatkan 172,000 pesawah dengan peruntukan permulaan RM50 juta.

Terdahulu, dalam ucapannya, Noh berkata, kerajaan sedia maklum golongan petani terpaksa berdepan pelbagai risiko termasuk tanaman diserang penyakit dan banjir yang boleh menjejaskan pendapatan mereka.

Beliau berkata, walaupun kerajaan memberi sagu hati atau pampasan jika kejadian itu berlaku, namun jumlahnya agak sedikit berbanding hasil sebenar yang dapat diperoleh sekiranya tanaman tersebut tidak rosak dan dapat dijual.

"Kalau boleh perkenalkan skim ini secara menyeluruh, masa depan sektor pertanian di negara kita akan lebih terjamin dan lebih diminati oleh rakyat," katanya. — BERNAMA

No comments:

Post a Comment