My Add

Monday 19 November 2012

Taktik baru sindiket dadah Nigeria seludup dadah bernilai RM22 juta tumpas
 
KUALA LUMPUR, ISNIN, 19 November, 2012,: Sindiket dadah warga Nigeria dikesan melarutkan dadah dipercayai jenis kokain bersama cecair santan kelapa yang diisi di dalam tin mengandungi ketulan nenas sebagai taktik baru penyeludupan dadah bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Noor Rashid Ibrahim, berkata taktik itu dikesan pihak Kastam Diraja Malaysia daerah Selangor selepas menahan sebuah kapal pelayaran yang membawa kargo kontena yang mana sebahagian daripadanya mengandungi larutan dadah bernilai RM22 juta.

"Hasil maklumat daripada pihak United States Drug Enforcement Administration (USDEA), kapal berkenaan yang tiba pada Isnin lepas (12 Nov) di pelabuhan Klang dipenuhi muatan 980 karton berisi tin yang mengandungi santan kelapa dan ketulan nenas.

"16 karton daripadanya yang berisi 384 tin santan kelapa dikenal pasti mengandungi larutan dadah jenis kokain masing-masing seberat 400 gram hasil pemeriksaan Jabatan Kimia Malaysia," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Katanya, kontena yang berasal dari negara Guyana, Amerika Selatan itu adalah untuk dihantar ke Mozambique, Afrika Selatan dan telah menjadikan pelabuhan negara sebagai transit bagi tujuan memindahkan kontena ke sebuah kapal lain.

Noor Rashid berkata, modus operandi yang diguna pakai sindiket berkenaan lebih sofistikated dengan berubah kepada taktik menyembunyikan dadah bukan di dalam bentuk asalnya.

Katanya, cecair dadah yang dirampas itu mampu menghasilkan tidak kurang 76kg kokain apabila diproses. 

Dipercayai kapal tersebut kali pertama singgah di pelabuhan berkenaan seminggu awal iaitu pada Ahad lalu pada jam 2 pagi.

"Tiada tangkapan dilakukan dan rampasan dibuat bagi siasatan bersabit Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Beliau berkata, tindakan mengesan dan membanteras kegiatan itu akan terus ditingkatkan dengan kerjasama antarabangsa. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment