My Add

Sunday 11 November 2012

Teknologi membran lebih sesuai untuk industri, bukan isi rumah

KUALA LUMPUR, AHAD, 11  November, 2012:: Teknologi membran yang disaran Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai kaedah merawat air tidak sesuai untuk kegunaan isi rumah kerana sistem itu adalah kaedah penapisan air sisa untuk kegunaan industri, kata seorang pakar pengurusan air.

Dr Ahmad Zaharuddin Sani Sabri berkata, teknologi membran kebanyakannya diguna secara mudah alih dan sering diguna oleh industri untuk memproses air yang diguna sebelum dilepaskan ke dalam sistem air sedia ada.

"Membran boleh juga digunakan untuk memproses air kumbahan kerana air kumbahan merupakan sebahagian daripada air sisa," katanya kepada pemberita di sini.

Beliau berkata, kelebihan teknologi itu hanya setakat membersihkan air untuk industri yang boleh diguna semula dalam industri atau operasi kilang.

"Selalunya bagi operasi kilang seperti kilang getah yang memerlukan penggunaan air yang tinggi yang kemudiannya diproses kembali dan diguna pakai semula dalam kilang berkenaan," katanya.

Ahmad Zaharuddin yang juga seorang pensyarah kanan, berkata kerajaan Selangor gagal melihat aspek penting bahawa teknologi membran adalah sistem yang memerlukan air mentah dan isu itu yang harus diutamakan.

"Bagaimanakah kita dapat memproses air jika kita tidak mempunyai bekalan air mentah? Isunya ialah adakah kita mempunyai air mentah yang mencukupi untuk diproses menjadi air bersih? Itu adalah pertanyaan yang cukup besar," katanya.

Mengenai pelbagai kenyataan oleh pemimpin kerajaan Selangor bahawa negeri itu mempunyai sumber air mentah yang mencukupi, Ahmad Zaharuddin berkata, ramai yang salah sangka berhubung isi itu kerana mereka bersandarkan fakta hujan dan sungai yang banyak di Malaysia.

"Tetapi pernah kita terfikir sama ada hujan yang kita nikmati setiap hari ini, ditakung? Adakah kita menyimpan hujan untuk diproses?" tanya beliau.

Katanya, walau sebanyak mana hujan yang turun di merata tempat, air hujan itu tidak boleh dipanggil air mentah untuk diproses jika tidak turun di kawasan takungan.

Beliau berkata, jika kerajaan Selangor mahu menggunakan teknologi membran, ia perlu mewajibkan semua industri di negeri itu menggunakan teknologi berkenaan bagi menyelesaikan sebahagian daripada masalah isu air mentah.

Ahmad Zaharuddin berkata, jika teknologi membran digunakan sebagai alternatif, kerajaan negeri itu perlu memikirkan tentang kos yang akan ditanggung bertahun-tahun apabila terpaksa menukar peralatan yang sedia ada.

Dalam temu bual menerusi rancangan "Soal Jawab" yang disiarkan TV3 baru-baru ini, Pengarah Eksekutif Jabatan Bekalan Air Suruhanjaya Pengurusan Air Negara (SPAN), Marzuki Mohammad, berkata kos rawatan air teknologi membran adalah jauh lebih tinggi berbanding loji rawatan konvensional, iaitu di antara lima hingga enam kali ganda.

Beliau merujuk kepada kenyataan Abdul Khalid bahawa teknologi itu membabitkan kos yang lebih rendah.

Ahmad Zaharuddin juga mempersoalkan hasrat kerajaan Selangor hendak menggunakan teknologi membran dari Kanada sedangkan Malaysia mempunyai kepakaran tersebut. 

"Kita mempunyai kepakaran dalam teknologi membran di pusat membran sendiri di Universiti Teknologi Malaysia dan Universiti Malaysia Sabah," katanya.

Beliau berkata, rakyat Malaysia lebih memahami suasana yang ada di negara sendiri berbanding orang luar yang hanya berminat untuk menjual teknologi mereka atau berniaga di negara ini. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment