My Add

Monday 5 November 2012

Terengganu bangunkan Pulau Rambutan di Kenyir

HULU TERENGGANU, ISNIN, 05 November, 2012: Terengganu bakal menjadi satu-satunya negeri di negara ini yang mempunyai pulau khusus untuk tanaman rambutan dengan penanaman 200 spesies pokok itu di Pulau Selimbar Selatan, Tasik Kenyir di sini.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said berkata pulau seluas 42 hektar itu adalah antara 10 produk pelancongan Kenyir Island Hopping (KIH) yang dibangun oleh Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah).

"Sebanyak RM11.5 juta diperuntukkan bagi menyediakan pelbagai kemudahan infrastruktur dan menempatkan pelbagai spesies rambutan komersil termasuk jenis pulasan dan dari jenis nadir seperti korlan, kikir buntal dan (rambutan) pacat,” katanya kepada pemberita, di sini semalam.

Menurut Ahmad, lebih 2,000 batang pokok rambutan dari seluruh dunia akan ditanam di pulau tersebut yang akan turut dikenali ”Pulau Rambutan” Projek itu melibatkan dua fasa iaitu pembangunan ladang yang bermula bulan lepas hingga Disember 2013 dan fasa kedua meliputi pembinaan infrastruktur serta kemudahan awam yang dijadual bermula Januari ini hingga Disember 2014.

Ahmad berkata, pembangunan pulau itu melibatkan empat komponen utama iaitu kompleks pentadbiran, tapak semaian, tapak perkhemahan dan ladang rambutan.

"Kemudahan seperti galeri, kafe, menara tinjau, kiosk jualan, galeri cenderamata serta pusat penyelidikan mampu menjadikan Pulau Rambutan sebagai destinasi agropelancongan yang unik.

"Selain itu, ia diharapkan mampu menjadi tempat edupelancongan untuk pelajar atau ahli akademik mengenali pelbagai spesies rambutan dari seluruh dunia,” katanya. — BERNAMA

No comments:

Post a Comment