My Add

Monday 5 November 2012

TH terima 17 kerusi roda untuk diguna jemaah haji uzur


*ZAHARI Sulaiman (dua dari kanan) menyerahkan kerusi roda sumbangan Yayasan 1MDB dan jemaah haji kepada Syed Saleh Syed Abdul Rahman di Hotel Abraj Jandiriyah, Mekah, semalam.

MEKAH, AHAD, 04 November, 2012: Atas rasa keprihatinan dan menginsafi keperluan jemaah haji yang uzur, Yayasan 1MDB dan jemaah haji dari KT20 dan KT30 menyumbangkan 17 kerusi roda kepada Tabung Haji, di sini.

Daripada jumlah itu, dua unit disumbangkan oleh Pengarah Urusan Ehsan Perdana merangkap Pengarah Projek Yayasan 1MDB, Datuk Shamsul Anwar Sulaiman, (10 unit) oleh tiga pegawai pengiring Program Khas Haji 1433H dan jemaah haji KT20 yang ditaja oleh Yayasan 1MDB dan (lima unit) oleh jemaah haji KT30.

Jemaah di bawah Program Khas Haji 1433H terdiri daripada imam, ketua kampung dan Pengerusi jawatankuasa kemajuan dan keselamatan kampung dari seluruh negara.

Shamsul berkata, sumbangan itu bagi membantu meringankan beban jemaah haji yang memerlukan khidmat kerusi roda.

Ini berikutan kerusi roda yang sedia ada tidak mencukupi selain berada dalam keadaan kurang memuaskan.

"Ini juga sebagai tanda terima kasih 400 jemaah haji di bawah Program Khas Haji 1433H kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mencetuskan idea untuk program ini," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di Kuala Lumpur, hari ini.

Penyerahan kerusi roda itu dilakukan oleh Ketua Rombongan Program Khas Haji 1433H, Datuk Zahari Sulaiman kepada Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Syed Saleh Syed Abdul Rahman di lobi tingkat 1 Maktab 88, Hotel Abraj Jandiriyah, semalam.

Bagi menjayakan usaha itu, kutipan derma kilat dilakukan pada majlis bacaan Yasin dan tahlil arwah di maktab, malam Jumaat lalu.

Harga seunit kerusi roda adalah SR350 (RM300).

Sementara itu. Syed Saleh melahirkan rasa terharu di atas keprihatinan jemaah haji dari KT20 dan KT30 dalam memberi sumbangan tersebut.

Beliau yang juga Pengurus Besar Kanan Jabatan Haji berkata, kerusi roda tersebut dapat membantu TH memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada jemaah haji yang memerlukan.

"Saya ucapkan terima kasih di atas sumbangan yang tidak disangka-sangka ini.

"Kerusi roda ini akan dimanfaatkan sebaik mungkin untuk jemaah haji tahun ini dan juga pada masa akan datang," katanya.

Pada masa sama, imam dari KT20 turut bertugas mengimamkan solat fardu di hotel secara bergilir-gilir selain menyampaikan tazkirah semasa di Padang Arafah dan Mina. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment