My Add

Thursday 8 November 2012

Tiada cadangan pinda hukuman individu enggan bayar cukai

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 08 November, 2012:: Kerajaan tidak bercadang meminda atau memansuhkan hukuman sedia ada terhadap individu yang enggan membayar cukai pendapatan, kata Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Donald Lim Siang Chai.

Beliau berkata hukuman yang termaktub di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967 itu sehingga kini dilihat berjaya mendidik individu untuk membayar cukai mengikut tempoh yang ditetapkan.

"LHDN (Lembaga Hasil Dalam Negeri) telah menyerahkan segalannya kepada kebijaksanaan mahkamah untuk menentukan hukuman yang adil dan saksama (yang perlu dijatuhi kepada pesalah).

"Hukuman seperti itu juga dilihat berjaya mendidik individu (untuk membayar cukai) dan ini terbukti apabila jumlah kutipan cukai individu menunjukkan peningkatan kira-kira 10 peratus pada 2010 dan 2011," katanya pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Fong Kui Lun (DAP-Bukit Bintang) sama ada kerajaan bercadang untuk memansuh atau meminda hukuman sedia ada bagi meringankan beban pembayar cukai.

Lim berkata antara hukuman sedia ada yang dikuatkuasakan bagi kesalahan gagal membayar cukai pendapatan ialah penalti lewat membayar cukai, pengeluaran arahan sekatan perjalanan ke luar negara dan berdepan hukuman saman serta didakwa atau dipenjara.

Sementara itu, menjawab soalan Fong mengenai bilangan pembayar cukai pendapatan, Lim berkata sepanjang tempoh lima tahun iaitu antara 2007 sehingga 2011, seramai 8.61 juta individu telah melaksanakan tanggungjawab membayar cukai. 

"Jumlahnya sentiasa meningkat bagi tempoh itu dan pada tahun lalu seramai 1.78 juta individu telah membayar cukai berbanding 1.76 juta pada 2010," katanya.
Pada 2009 seramai 1.72 juta orang telah membayar cukai, pada 2008 (1.75 juta orang) dan pada 2007 (1.6 juta orang).

Beliau berkata seramai 4.07 juta orang pula dikesan gagal membayar cukai dalam tempoh itu iaitu 840,000 pada tahun lepas, 640,000 orang pada 2010, 730,000 orang (2009), 1.1 juta orang (2008), dan 760,000 orang (2007). - BERNAMA

No comments:

Post a Comment