My Add

Tuesday 27 November 2012

Tiada keperluan wujud mahkamah khusus kes buruh

KUALA LUMPUR, SELASA, 27 November, 2012: Tiada keperluan untuk mewujudkan mahkamah khusus untuk kes-kes buruh sebaliknya boleh dibawa ke Mahkamah Perusahaan untuk diselesaikan atau dirujuk ke Mahkamah Tinggi, kata Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr S Subramaniam.

Beliau berkata Mahkamah Perusahaan bukan sahaja institusi mahkamah tetapi juga tribunal serta institusi sosial yang diwujudkan untuk menyelesaikan isu berkaitan pekerja secepat mungkin agar majikan dan pekerja mendapat keadilan.

"(Di Mahkamah Perusahaan), ada peguam yang memberi pandangan tentang sesuatu kes dan isu. Jadi, ia telah menjadi institusi perundangan pada masa sekarang di mana isu-isu teknikal mempengaruhi Mahkamah Perusahaan.

"Oleh itu, kes dirujuk ke Mahkamah Tinggi untuk penjelasan mengenai sistem perundangan yang lebih terperinci sebelum dibawa balik ke Mahkamah Perusahaan untuk mendapatkan penyelesaian," katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Abdullah Sani Abdul Hamid (PKR-Kuala Langat) yang meminta kementerian untuk mengkaji keperluan mewujudkan Mahkamah Perusahaan yang setaraf dengan Mahkamah Tinggi.

Dr Subramaniam berkata kementerian pada masa ini sedang melihat daripada segi proses keseluruhan sesuatu kes iaitu tempoh perjalanan kes itu daripada peringkat aduan di Jabatan Perhubungan Perusahaan sehingga ia diselesaikan di Mahkamah Perusahaan.

"Jadi, kita lihat macam mana kita boleh pendekkan proses ini supaya ia lebih wajar dengan keperluan sekarang. Ini perkara yang kita beri tumpuan sekarang.
"Saya harap dalam sesi Parlimen akan datang, kita boleh buat perubahan baru dalam sistem ini supaya masa yang diperlukan untuk selesaikan kes-kes ini dapat dipendekkan," katanya.

Menjawab soalan asal Abdullah, Dr Subramaniam berkata keperluan untuk menambah Pengerusi di Mahkamah Perusahaan akan dilakukan mengikut keperluan dan bergantung kepada bilangan kes yang diterima dari semasa ke semasa.

Katanya pada masa ini mahkamah tersebut mempunyai 26 perjawatan Pengerusi Mahkamah dan 24 jawatan berkenaan diisi manakala dua lagi masih kosong. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment