My Add

Friday 16 November 2012

Tiga polis didakwa rogol wanita Indonesia

BUTTERWORTH, JUMAAT, 16 November, 2012: Tiga anggota polis hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas dua pertuduhan merogol dan melakukan seks luar tabii terhadap seorang wanita Indonesia, di Prai, Jumaat lalu.

Hakim Nabishah Ibrahim membaca pertuduhan di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan untuk tuduhan merogol dan Seksyen 377(c) untuk tuduhan melakukan seks luar tabii.

Konstabel Remy Anak Dana, 25, Koperal Nik Sin Mat Lazin, 33, dan Konstabel Syahiran Romli, 21, didakwa merogol wanita Indonesia berumur 25 tahun itu di Bilik 4, Berek Balai Polis Prai di sini di antara 6.40 pagi hingga 7.30 pagi, 9 November lalu.

Jika didapati bersalah, ketiga-tiga mereka berdepan dengan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan.

Timbalan Pendakwa Raya Suhaimi Ibrahim berkata pihak pendakwaan tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap ketiga-tiga tertuduh atas alasan saksi-saksi dalam kes itu terdiri daripada rakan setugas tertuduh.

Bagaimanapun, katanya sekiranya mahkamah membenarkan jaminan terhadap tertuduh, pihak pendakwaan mencadangkan RM30,000 bagi setiap tertuduh dengan seorang penjamin.

Hakim Nabishah membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM25,000 dengan seorang penjamin dan mengarahkan mereka melapor diri di balai polis berhampiran sekali setiap bulan dan menetapkan 12 Disember ini untuk mendengar keterangan daripada mangsa. 

Peguam Parmjit Singh mewakili Nik Sin dan Syahiran manakala Remy diwakili peguam Anthony Samy.

Ketiga-tiga tertuduh membayar jaminan itu. - BH

No comments:

Post a Comment