My Add

Wednesday 28 November 2012

Tiga sayap siap sedia sebaik semboyan PRU-13 dibunyikan: Muhyiddin 

Oleh ZAINUDIN ISA, ZEF OTHMAN, NORA MAHPAR dan MOHD HUZAIMI
Puteri UMNO semasa perasmian Persidangan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO di Dewan Merdeka, PWTC. - Foto Hasan Ismail *PERWAKILAN menyanyikan lagu Negaraku, Barisan Nasional, Wanita, Pemuda dan Puteri.

KUALA LUMPUR, SELASA, 27 November, 2012: Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO sebagai 'pasukan tahan lasak' parti perlu menggerakkan jentera masing-masing untuk mengarak obor kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) tidak lama lagi.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata, sebagai barisan hadapan jentera parti, tiga sayap berkenaan perlu memastikan mereka bersedia turun ke medan perang sebaik semboyan pilian raya umum dibunyikan.

"Bergeraklah ke serata pelosok desa dan kota, harungilah lembah, sungai dan denai, dari Kangar hingga ke Semporna, julanglah panji perjuangan, Insya-Allah kita akan mengarak obor kemenangan.

"Gerakkan jentera di setiap peringkat. Pastikan mereka bersedia turun ke medan perang apabila semboyan dibunyikan. Atur strategi berkesan untuk menangi hati pengundi. Pujuklah mereka dengan penuh hikmah. Mudah-mudahan dengan izin Allah SWT, pintu hati mereka akan terbuka luas untuk menyokong UMNO dan BN," katanya dalam ucapan perasmian serentak Pergerakan Pemuda, Wanita dan Puteri sempena Perhimpunan Agung UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, sebentar tadi.

Ucapan Muhyiddin yang bertema 'Bersama Melakar Kemenangan' mengupas sejarah perjuangan UMNO sejak 66 tahun, sistem perkongsian kuasa, cabaran parti pembangkang serta agenda perjuangan Melayu dan masyarakat Bumiputera.

Beliau berkata, kunci kemenangan UMNO dan BN adalah perpaduan utuh dalam parti mengikut landasan perjuangan yang ditetapkan demi agama, bangsa dan negara, bukannya bekerja untuk diri sendiri.

"Perjuangan ini tidak boleh kita lakukan secara bersendirian. Kita memerlukan sokongan dan dukungan rakan seperjuangan. Bekerjalah dalam semangat kesatuan hati (wahdatul qalb), kesatuan fikiran (wahdatul fikr), kesatuan matlamat (wahdatu hadaf) dan kesatuan amal (wahdatul amal) untuk meneruskan agenda perjuangan parti yang suci. 

"Yakinlah bahawa kita berada di pihak yang benar. Matlamat UMNO mempertahankan Islam, membela nasib bangsa Melayu, memelihara kedaulatan negara dan mensejahterakan rakyat tanpa mengira kaum dan agama adalah perjuangan suci yang kita galas hingga ke saat ini.

"Dengan asakan pelbagai dakyah songsang yang merungkai asas-asas agama, yang mencabar maruah bangsa, yang mengancam kedaulatan negara, maka landasan perjuangan suci UMNO mesti kita perkukuhkan,"katanya.

Muhyiddin berkata, UMNO di bawah kepemimpinan Presiden, Datuk Seri Najib Razak selaku Perdana Menteri sedang menerajui transformasi yang besar untuk negara.

"UMNO telah merasai denyut nadi rakyat. Menerusi program transformasi kerajaan, ekonomi dan politik, sentuhan pembaharuan UMNO sedang dirasai segenap lapisan masyarakat.

"Baik petani, nelayan dan pekebun kecil di desa, pemandu teksi dan peniaga di kota, golongan pekerja, profesional dan penjawat awam, kesatuan sekerja dan pertubuhan bukan kerajaan, remaja, belia dan mahasiswa, malahan golongan gelandangan dan kurang bernasib baik, semuanya sedang merasai sentuhan UMNO," katanya.

Beliau menegaskan bahawa transformasi adalah proses yang berterusan dan masih masih banyak rintangan dan cabaran yang menanti.

Namun, katanya demi menjamin masa depan Malaysia yang lebih makmur dan sejahtera, segala rintangan perlu diredahi dengan memberikan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada Presiden untuk memimpin parti dan negara.

"Marilah kita berikan sepenuh ketaatan kepada khalifah yang akan memimpin bala tentera kita. Firman Allah SWT dalam al-Quran bermaksud: “Taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (yakni orang yang berkuasa) daripada kalangan kamu. -(Surah Al-Nisa’, Ayat 56).

"Pemuda adalah hulubalang UMNO, Wanita adalah serikandi UMNO, Puteri adalah permata UMNO. Ayuhlah hulubalang UMNO! Ayuhlah serikandi UMNO! Ayuhlah permata UMNO! Rapatkanlah saf perjuangan kita.

"Berjuanglah dengan penuh ikhlas dan yakin membela agama, bangsa dan negara. Bangkitlah menjulang panji perjuangan. Maralah ke medan perang. Insya-Allah, berkat kesungguhan kita berjuang, berkat kebijaksanaan rakyat membuat pilihan, UMNO dan BN akan melakar kemenangan!," katanya. - BH

No comments:

Post a Comment