My Add

Tuesday 6 November 2012

Timbalan speaker tegur ahli Parlimen tidak hadir sesi soal jawab

KUALA LUMPUR, SELASA, 06 November, 2012: Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar hari ini menegur ahli Parlimen yang tidak hadir ketika tiba giliran mereka untuk mengemukakan soalan ketika sesi soal jawab.

Secara sinis, Wan Junaidi berkata, ahli Parlimen yang tidak hadir untuk mengemukakan soalan mereka seperti yang disenaraikan dalam Aturan Urusan Mesyuarat seolah-olah menghadapi sindrom 'Monday blues'.

"Biasanya ada 'Monday blues'. Tapi 'Tuesday blues' jarang saya dengar... ramai ahli Yang Berhormat tidak hadir pagi ini," katanya pada awal sesi soal jawab lisan pada persidangan Dewan Rakyat.

Sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat hari ini menyaksikan sembilan ahli Parlimen tidak hadir bagi mengemukakan soalan masing-masing.

Mereka ialah Datuk Alexander Nanta Linggi (BN-Kapit), Teo Nie Ching (DAP-Serdang), Datuk Dr Mohd Hayati Othman (PAS-Pendang), Datuk Sapawi Ahmad (BN-Sipitang), Chong Chieng Jen (DAP-Bandar Kuching), Datuk Shamsul Anuar Nasarah (BN-Lenggong), Datuk Seri Wilfred Mojilip Bumburing (BN-Tuaran), Mujahid Yusof Rawa (PAS-Parit Buntar) dan Billy Abit Joo (BN-Ulu Rajang). - BERNAMA

No comments:

Post a Comment