My Add

Monday 19 November 2012

'Tindakan memalukan umat Islam'

KUALA LUMPUR, AHAD, 18 November, 2012: Bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin (gambar) menyifatkan tindakan Pas mendoakan supaya Allah SWT menjahanamkan UMNO dan Barisan Nasional (BN) sebagai kurang ajar.

Menurut beliau, tindakan itu sangat memalukan Islam dan mampu menyebabkan orang Islam dipandang rendah serta hina di mata pihak lain.

Ujarnya, sikap sedemikian jelas berbeza dengan UMNO dan BN yang tidak pernah memperalatkan agama atau mendoakan keburukan kepada mana-mana pihak atau parti.

"Sebab itu agama tidak boleh dijadikan parti politik untuk menegakkan prinsip-prinsip Islam. Hal demikian kerana akan berlaku 'perebutan' dalam kalangan orang Islam untuk mendakwa mereka lebih Islam berbanding orang Islam yang bukan daripada parti Islam sehingga menganggap sah mendoakan kemusnahan orang yang bukan anggota parti mereka.

"Inilah yang telah diajar pemimpin-pemimpin Pas sehingga menyebabkan umat Islam tidak beradab, bersopan, kejam, tidak terpelajar dan berdendam sepanjang masa," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Zainuddin berkata, Pas kini dilihat jauh berbeza dengan Pas dahulu sehingga sanggup mendoakan kehancuran termasuk saling mengkafirkan orang UMNO.

"Dahulu Pas pun guna agama tapi tidak sampai mengkafirkan orang Islam lain. Namun kini keadaan menjadi buruk. Malulah, kita apabila berlaku malapetaka kepada orang lain, kita tidak kata itu pembalasan Tuhan. Kita tidak pernah doa (untuk keburukan orang lain)," jelasnya.

Sementara itu, ditanya penegasan Dewan Ulama Pas Pusat bahawa Presiden parti itu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang layak menjadi Perdana Menteri jika pembangkang memenangi pilihan raya umum akan datang, beliau berkata, perkara tersebut bertentangan dengan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang mahukan Datuk Seri Anwar Ibrahim memegang jawatan terbabit.

"Apakah benar DAP mahu terima Abdul Hadi? Mereka mahukan Anwar (jadi Perdana Menteri)," jelasnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment