My Add

Wednesday 21 November 2012

TPP dimuktamad tahun depan - Najib

PHNOM PENH,, Kemboja, SELASA, 20 November,2012: Rundingan pembentukan Perkongsian Trans Pasifik (TPP) yang dipromosikan Amerika Syarikat (AS) dan turut melibatkan Malaysia akan dimuktamadkan pada akhir tahun depan.

Keputusan itu dicapai dalam mesyuarat para pemimpin tujuh negara anggota TPP termasuk Presiden Barack Obama dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Negara anggota lain adalah Brunei, Singapura, Vietnam, Australia dan New Zealand.

"Dalam mesyuarat semalam, kita setuju bahawa tempoh masanya adalah pada tahun depan untuk dimuktamadkan.

"Saya nyatakan dalam pusingan terakhir ini ada beberapa isu mencabar tetapi kita cuba bersikap konstruktif dan fleksibel untuk mencapai satu bentuk perjanjian bebas yang boleh mencetuskan peningkatan dagangan antara AS dan negara TPP," kata Perdana Menteri dalam sidang akhbar di Hotel Phnom Penh di sini hari ini.

Beliau menemui wartawan Malaysia selepas menghadiri mesyuarat TPP di Peace Palace yang diadakan di luar Sidang Kemuncak ASEAN Ke-21 dan sidang-sidang kemuncak berkaitan.

Setakat ini, sebanyak 14 siri rundingan TPP sudah diadakan. Dalam rundingan berikutnya yang akan diadakan di Auckland, New Zealand, dari 3 hingga 12 Disember depan, dua anggota baru iaitu Mexico dan Kanada, dijadual menyertai perkongsian itu.

Perdana Menteri berkata, semua pemimpin berpuas hati dengan kemajuan rundingan setakat ini dan bersetuju TPP patut menjadi satu perjanjian berkualiti yang dapat menarik lebih banyak ahli bagi membentuk integrasi serantau di Asia Pasifik.

Malaysia akan mendapat banyak manfaat daripada TPP kerana pasaran negara akan berkembang menerusi perjanjian perdagangan bebas (FTA) negara anggota blok ekonomi itu.

Antaranya, Malaysia dapat memasuki pasaran di empat negara yang tiada FTA dengan negara ini seperti Amerika Syarikat, Mexico, Kanada dan Peru.

Negara anggota TPP mencatat sebanyak 28 peratus daripada perdagangan dunia. Dengan penyertaan dalam TPP, lebih 80 peratus perdagangan Malaysia dapat dilaksanakan secara bebas cukai.

TPP buat masa ini dianggotai 11 negara, tujuh daripadanya menghadiri mesyuarat hari ini - empat lagi anggota adalah Chile, Peru, Mexico dan Kanada. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment