My Add

Tuesday 20 November 2012

Tubuh suruhanjaya antarabangsa siasat laporan serangan 9/11

KUALA LUMPUR, ISNIN, 19 November, 2012: Persidangan Antarabangsa '9/11 Revisited: Seeking The Truth' hari ini mencadangkan penubuhan sebuah suruhanjaya siasatan antarabangsa bagi menyiasat laporan kerajaan Amerika Syarikat (AS) berhubung serangan ke atas menara Pusat Dagangan Dunia (WTC) di New York dan kompleks Pentagon pada 11 September 2001.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, selain meneliti sama ada laporan kerajaan AS itu tepat atau tidak suruhanjaya tersebut juga akan menyiasat kemungkinan serangan dilakukan pihak lain dan bukannya kumpulan pengganas Islam.

"Kita belum buat keputusan, ini adalah pemikiran mereka yang di dalam panel dan selepas ini mereka akan berjumpa dan membuat cadangan.

"Tarikh penubuhan dan terma rujukan yang akan digunakan suruhanjaya siasatan antarabangsa itu bakal ditentukan ahli-ahli panel," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri persidangan anjuran Yayasan Keamanan Global Perdana (PGPF) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi PGPF, Tan Sri Norian Mai.

Dalam pada itu, Dr. Mahathir yang juga Presiden PGPF melihat pilihan raya Presiden AS yang menyaksikan Mitt Romney kecundang kepada Barack Obama sebagai bukti calon yang menyokong dasar pro-Israel tidak semestinya menang.

Jelas beliau, Romney pada mulanya dijangka mampu menewaskan Obama namun undi kumpulan minoriti Hispanik dan orang Islam menjadi penentu.

"Situasi sama boleh berulang sekiranya rakyat AS menggunakan kuasa mereka menolak pemimpin yang tidak percaya bahawa tragedi 11 September 2001 adalah konspirasi untuk menghalalkan perang," ujarnya.

Dr. Mahathir memberitahu, usaha yang dijalankan PGPF bagi menyedarkan masyarakat global tentang kebenaran di sebalik tragedi tersebut bukan mudah kerana pihaknya terpaksa berhadapan dengan kuasa-kuasa besar dunia.

"Namun, usaha itu boleh dilakukan sekiranya kami menerima lebih publisiti daripada media yang sedia bekerjasama dengan kami," jelasnya.

Terdahulu itu dalam ucaptamanya, beliau berkata, bangsa Arab tidak mungkin mampu merancang dan melaksanakan serangan 11 September kerana kejadian itu adalah hasil operasi yang kompleks.

Katanya, bangsa Arab sememangnya pahlawan handalan pada zaman dahulu tetapi hilang taring dalam peperangan selepas mengamalkan sistem perundangan Barat.

Sambil meminta maaf kepada bangsa Arab, Dr. Mahathir menambah, perancangan dan pelaksanaan serangan pada 11 September itu adalah sesuatu yang sukar dan bangsa berkenaan tidak boleh melakukannya secara terancang.

"Bangsa Arab berani dan mereka juga sanggup mati atas kepercayaan mereka, tetapi mereka tidak seperti tentera AS yang sanggup melakukan pembunuhan seperti yang dilakukan terhadap Osama Laden.

"Tentera Amerika cukup 'bijak' dan ini adalah hasil latihan yang mengambil masa bertahun-tahun untuk dilakukan," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment